HEATHER Louis Mack (tengah) yang dituduh membunuh ibunya bebas daripada penjara Bali, hari ini. FOTO EPA.
HEATHER Louis Mack (tengah) yang dituduh membunuh ibunya bebas daripada penjara Bali, hari ini. FOTO EPA.
AFP

Denpasar: Wanita Amerika Syarikat yang disabit bersalah bersama teman lelaki kerana membunuh ibunya dan membuang mayat dalam beg pakaian, dibebaskan daripada penjara Bali, hari ini.

Kes terkenal di pulau peranginan itu dilapor berlaku pada 2014 dengan Heather Mack yang berusia 19 tahun ketika kejadian, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bermula 2015, manakala teman lelakinya, Tommy Schaefer dipenjara 18 tahun.

Schaefer didakwa memukul hingga mati Shiela von Wiese Mack yang merupakan sosialit Chicago berusia 62 tahun, dengan mangkuk buah selepas mereka bertengkar di penginapan mewah, St Regis Resort.

Dia dibantu Heather membuang mayat wanita itu dalam beg pakaian yang kemudian ditinggalkan di dalam teksi, sebelum melarikan diri.

Heather yang hamil ketika tragedi berkenaan didapati bersalah atas pertuduhan yang lebih ringan kerana membantu pembunuhan itu.

Ketua bahagian penjara wanita, Lili berkata, Heather yang kini berusia 25 tahun dibebaskan lebih awal daripada Penjara Kerobokan kerana berkelakuan baik.

"Heather bebas sepenuhnya. Sebaik dilepaskan, dia kelihatan terkejut dan emosi. Dia teragak-agak dan takut tetapi kami cuba menggembirakan dia," katanya.

Memakai kaca mata hitam dan vest oren penjara, Heather kemudian diserahkan kepada pihak imigresen sementara menunggu proses penghantaran pulang ke Amerika Syarikat (AS).

Pegawai Imigresen Bali bagaimanapun enggan mengulas lanjut, malah tidak dapat dipastikan sama ada anak perempuan wanita itu yang berusia enam tahun dan diletakkan di bawah jagaan rumah kebajikan akan pulang pada tarikh sama.

Sebelum ini, peguam Heather memaklumkan AFP bahawa wanita itu enggan anaknya pulang bersama dan "diburu oleh media AS."

Sejak pandemik Covid-19 melanda, Heather yang fasih berbahasa Indonesia dan Bali hanya berhubung dengan anaknya menerusi panggilan video.

Kes pembunuhan itu menggegarkan Bali selepas mayat von Wiese Mack ditemui dalam teksi di luar hotel penginapan mereka.

Schaefer masih dipenjara mengaku membunuh mangsa ketika perbicaraan kes itu, yang menurutnya sebagai membela diri selepas mereka bergaduh kerana von Wiese Mack berang anaknya hamil.

Ketika serangan itu, mahkamah dimaklumkan Heather menyorok di dalam bilik air tetapi kemudiannya membantu Schaefer menyumbat mayat ibunya dalam beg pakaian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 12:09 PM