ASFAN sedia bekerjasama dengan penyanyi baharu atau lama rakam lagu ciptaannya. FOTO: Akma Bakar
ASFAN sedia bekerjasama dengan penyanyi baharu atau lama rakam lagu ciptaannya. FOTO: Akma Bakar
Norhayati Nordin

NAMA Asfan Shah, 35, bukan asing dalam kalangan penggiat seni muzik tanah air. Selain menyanyi dia juga aktif mencipta lagu dan menulis lirik.

Asfan atau nama sebenarnya, Norasfan Shah Shah Rudin cukup popular dengan lagu antaranya Alasan Untuk Bahagia, Semua Tentang Kita, Maafkan Aku dan Sumpah Cintaku.

Apa yang menarik, kebanyakan lagu nyanyian Asfan sering dipilih menjadi lagu tema drama yang sekali gus membantu karyanya dikenali ramai.

Namun, biarpun karya lagu Asfan masih dimainkan di stesen radio dan TV, dia sebenarnya sudah berehat selama setahun dalam kerjaya seni kerana membantu isteri, Ain Sakinah Razali menguruskan perniagaan makanan.

"Saya sentiasa rindu saat menulis lirik lagu. Selama tidak aktif seketika kerana membantu perniagaan isteri, saya masih mencipta lagu di rumah kerana minat itu sudah sebati dalam diri.

"Allhamdulillah, ada juga beberapa koleksi lagu yang saya cipta itu akan dinyanyi penyanyi baharu di bawah syarikat rakaman Rusa Music," katanya.

Menurut Asfan, dia juga tidak memilih penyanyi tertentu untuk merakamkan lagu yang siap dicipta itu. Katanya, paling utama asalkan lagu sesuai dengan vokal dan penyanyi selesa.

"Saya bersikap positif dan berpandangan terbuka. Jadi, saya sedia untuk bekerjasama dengan sesiapa saja sama ada penyanyi baharu atau berpengalaman.

"Saya tidak gemar menilai orang lain. Pada saya, setiap individu itu ada kelebihan dan kekurangannya. Bagaimanapun, bakat adalah rezeki daripada Allah dan mesti disyukuri," katanya.

Berbicara kerjaya nyanyiannya, Asfan berkata, dia tidak pernah terfikir untuk angkat kaki meninggalkan bidang muzik, cuma dia 'berehat sekejap' untuk membantu isteri tersayang.

"Bagaimanapun, kita hanya mampu merancang dan selebihnya ketentuan daripada Allah. Saya sendiri tidak menyangka impak terhadap penularan Covid-19 sangat besar.

"Restoran milik isteri saya yang baru dibuka di Damansara terus diarah tutup. Jadi, kami berusaha pula sediakan perkhidmatan tempahan makanan kepada pelanggan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan syukur ada sambutan," katanya.

Bercerita mengenai lagu baharu, Asfan berkata, dia sudah membuat rakaman dan ia bakal dilancar tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 6:30 AM