Bekas penyanyi yang kini pendakwa bebas, Ijam Medicine. Foto Aswadi Alias
Bekas penyanyi yang kini pendakwa bebas, Ijam Medicine. Foto Aswadi Alias
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Bekas penyanyi kumpulan Medicine yang kini pendakwah bebas, Ijam, 58, berharap lagu-lagu berunsur cinta sesama manusia yang pernah dinyanyikannya dulu tidak dimainkan lagi selepas dia sudah tiada nanti.

Ijam atau nama sebenarnya, Norhizam Shair ditemui berkata, dia ada berpesan kepada isteri, Nor Suhaila Abdul Karim, 48, dan sahabat rapatnya agar tidak memainkan lagi lagu-lagu lamanya selepas meninggal dunia jika lirik tidak diubah menjurus kepada kerohanian.

"Saya ada berbincang dengan isteri dan kawan-kawan yang masih lagi dalam muzik, saya pesan pada mereka kalau saya dah mati, janganlah mainkan lagu-lagu yang dulu. Kalau lagu yang sudah diubah liriknya (ke arah kerohanian dan kebaikan), saya tak halang.

"Memanglah lagu-lagu itu ketika saya bersama Medicine dan saya pun tak boleh mengawalnya (untuk tidak dimainkan), cuma saya boleh menyuarakan sesuatu saja, tapi sekurang-kurangnya ada usaha 'menghijrahkan' lagu itu supaya Allah ampunkan dosa," katanya kepada Harian Metro.

Ijam berkata, dia bersyukur apabila isteri dan rakan-rakan memahami pesanan dititipkan serta menghormatinya kerana mahu mengelakkan maksiat jika lagu-lagu itu ditujukan pasangan kekasih yang belum berkahwin.

"Tuan guru saya ada cakap, boleh terus menyanyi untuk dijadikan salah satu medium kita berdakwah kepada orang lain, namun yang pentingnya lirik lagu itu kena diubah kerana kita tak nak ketika lagu berkenaan dinyanyikan, pendengar masih mengenang kisah lalu.

"Contohnya, ada orang yang dengar dan minat pada sesuatu lagu itu menghadiahkannya kepada kekasih kerana rasa sayang, tapi belum berkahwin. Jadi, saya rasa daripada lagu itu boleh menjadi asbab maksiat berlaku dan saya rasa berdosa.

"Maka, atas sebab itu juga saya bersama dua rakan berusaha ubah lirik lagu Tika Dan Saat Ini supaya bila orang mendengarnya terutama mereka yang pernah meminati lagu itu dapat menerima lirik berunsur kerohanian pula," katanya.

Terdahulu, Ijam berkongsi kisah penghijrahan dirinya ke arah mendalami ilmu agama kira-kira 21 tahun yang lalu bermula sejak 2002 disebabkan berkat doa ibunya selama 30 tahun.

Katanya, dia mula rasa terpanggil 'kembali semula' kepada agama selepas pertemuan dengan bekas Mufti Selangor yang juga pendakwah bebas, Allahyarham Datuk Ishak Baharom yang ketika itu mengingatkannya kepada kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 2:02 PM