Wani Syaz
Wani Syaz
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Wani Syaz, 27, mendapat tawaran daripada komposer Juan Madial dari Brunei untuk menyanyikan lagu raya ciptaannya yang dijangka pada tahun depan.

Wani atau Nursyazwani Selamat berkata, dia menerima mesej langsung (DM) daripada Juan di Instagram selepas memuat naik video menyanyikan lagu Renjana Pengantin Diraja (Istiadat Perkahwinan Diraja 2024).

"Alhamdulillah, saya seronok dan tak sangka video lagu itu diterima baik oleh banyak orang, terutama komen yang positif daripada orang Brunei sendiri.

"Terima kasih banyak sebab sudi tengok video nyanyian saya, termasuk komen daripada penyanyi asalnya, Ezah Hashim juga memberi maklum balas sangat baik.

"Saya juga berterima kasih pada komposer dan penulis lirik lagu itu, Juan sebab DM dan tawarkan nak buat lagu raya untuk saya. Syukur Alhamdulillah, saya anggap ia rezeki walaupun dalam perancangan," katanya kepada Harian Metro.

Wani berkata, dia memuatnaik video lagu itu yang dinyanyikannya di TikTok dan Instagram sebab tertarik dengan melodi yang 'sweet' dan indah. Namun, tidak sangka diterima baik.Lagu Renjana Pengantin Diraja nyanyian Wani tular dan mencecah sejuta tontonan di TikTok, termasuk ramai menyifatkan lontaran vokalnya untuk lagu bergenre Irama Melayu cukup mantap.Terdahulu lagu Renjana Pengantin Diraja difahamkan adalah juara Peraduan Mencipta Lagu bagi Istiadat Perkahwinan Diraja antara Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan isteri, Dayang Anisha Rosnah Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 12:34 PM