Zaiton Sameon
Zaiton Sameon
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur:  Penyanyi lagu Menaruh Harapan, Zaiton Sameon, 65, melahirkan perasaan teruja akan kembali merakamkan lagu ciptaan Allahyarham komposer A Ali tidak lama lagi. 

 

Zaiton berkata, ia adalah lagu terakhir ciptaan A Ali semasa hayatnya dan liriknya mungkin ditulis oleh Habsah Hassan.

 

"Kiranya ia gandingan semula kami bertiga seperti ditunjukkan menerusi Menaruh Harapan yang muncul sebagai pemenang Juara Lagu 1987. Cuma lagu terbaru ini tak sempat dirakamkan semasa beliau masih hidup. Konsep lagunya juga seakan sama. Judulnya belum tahu lagi dan saya serahkan kepada Habsah. Saya percaya lagu ini boleh naik. Proses rakaman mungkin akan dijalankan selepas Aidilfitri," katanya yang ditemui pada Program Amal Ali XPDC di Street Food Corner, Danau Kota, malam tadi.

 

Majlis anjuran Persatuan Muafakat Darul Ehsan (PAKAT) ini diadakan bertujuan mengutip derma untuk membantu Ali XPDC yang mengalami masalah jantung dan serangan angin ahmad pada Februari lalu. 

 

Menurut Zaiton, dia yang kali terakhir tampil dengan lagu Menadah Impian ciptaan Eddie Hamid pada 1995 sudah bersedia untuk membuat 'comeback' dalam dunia seni.

 

"Ia sesuatu yang saya suka kerana dah lama tiada lagu baharu. Ia sesuatu yang saya tunggu-tunggu. Malah saya juga teruja untuk buat show selepas ini," katanya.

 

Ditanya berkenaan perniagaan Rendang Nasib yang diusahakan sebelum ini, Zaiton berkata, ia dihentikan untuk sementara waktu.

 

"Insya-Allah lepas raya saya akan aktif semula jual Rendang Nasib. Sepanjang bulan puasa saya hanya berehat di rumah. Kita pun dah boleh bekerja semula sekarang. Kalau sekiranya ada undangan berbuka dan menyanyi, saya akan terima. 

  

"Mungkin minggu depan saya bercadang nak lawat kubur arwah anak (Azirwan Abu Bakar) di Rembau, Negeri Sembilan serta rumah di kampung yang kini didiami kakak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 2:29 PM