GALAS tanggungjawab sebagai Super Producer untuk Joox Originals ketuai proses hasilkan lagu.
GALAS tanggungjawab sebagai Super Producer untuk Joox Originals ketuai proses hasilkan lagu.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


WALAUPUN sudah hampir 15 tahun beraksi dalam industri seni tanah air, itu tidak menjadikan penyanyi, komposer dan penerbit, Faizal Tahir puas dengan pencapaian dimiliki.

Sehingga kini, dia terus menerus bekerja keras untuk berkarya dan memperjuangkan minatnya di samping mencari peluang untuk meluaskan lagi ‘jajahan’ bakatnya sebagai anak seni.

Terbaharu, Faizal kini memegang tanggungjawab sebagai Super Producer untuk projek khas, Joox Originals.

Menggalas tugasan sebagai Super Producer itu bukanlah satu tugas yang mudah, namun, memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk bekerjasama dengan generasi baru yang berbakat besar.

“Untuk projek Joox Originals ini, saya berpeluang bekerjasama dengan bakat baru dan lama termasuk penerbit serta penyanyi. Apa boleh dikatakan, bekerja untuk projek ini adalah satu pengalaman berbeza buat saya,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai tugasannya itu, Faizal berkata, dia mengetuai setiap proses yang dilakukan dalam menghasilkan lagu yang diterbitkan untuk Joox Originals.

“Tugasan saya adalah sebagai orang yang akan meneliti kesemua proses. Tidak bermakna tugasan ini mudah dan kecil kerana saya terbabit dalam semua proses daripada penghasilan dan pemilihan lagu sehinggalah ke peringkat penerbitan.

“Walaubagaimanapun, kerana ada bantuan daripada penerbit lain, secara tak langsung saya berikan kepercayaan dan melihat kemampuan mereka sebagai penerbit,” katanya.

Ditanya mengenai apa sebenarnya objektif Joox Originals, Faizal berkata, ia adalah satu platform terbaik yang dibuka oleh pihak Joox yang cukup dikenali sebagai aplikasi penstriman muzik.

“Joox Originals membuka peluang buat artis tempatan termasuk mereka yang bergerak secara indie. Dalam industri muzik dunia, kita dapat lihat bagaimana gelombang muzik Kpop dari Korea Selatan menjajah dunia sehingga ke Amerika Syarikat.

“Ramai yang mengeluh mengenai industri muzik tanah air. Mungkin sebab tidak ada dana dan sebagainya. Jadi, sekarang Joox melabur untuk membuka platform Joox Originals dan memberikan kebebasan kepada pasukan saya untuk menerbitkan muzik yang ada identiti Malaysia.

“Sebelum ini, penerbit tempatan gusar kerana setiap kali nak keluarkan lagu baru, mereka perlu fikirkan banyak hal antaranya lagu apa yang dimahukan radio untuk dimainkan. Sekarang, dengan adanya platform ini, kreativiti penerbit itu akan menjadi lebih bebas,” katanya.

Dia sendiri ditawarkan untuk berkolaborasi dengan Joox bagi menghasilkan 10 karya sepanjang tahun ini. Menurutnya, dia juga berpeluang untuk mencurahkan kreativitinya dalam berkarya.

“Selalunya, nama saya sinonim dengan muzik rock dan pop. Di Joox Originals, saya berpeluang untuk berkarya dan menghasilkan karya yang jarang saya dapat buat seperti pop, R&B dan hip hop,” katanya.

Setakat ini, Joox Originals baru saja melancarkan tiga single yang dinyanyikan tiga artis iaitu Dayang Nurfaizah menerusi lagu Gerak Dulu, Sophia Liana (NGAM) dan kumpulan duo FML (Sinar).

Selepas ini, akan ada tujuh lagu yang akan dilancarkan di bawah projek Joox Originals, menampilkan pelbagai artis dan genre.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 6:45 AM