Syafil Syazwan Jefri


KETIKA negara dilanda gelombang wabak Covid-19, masih ada segelintir masyarakat yang memandang enteng dengan penyakit ini.

Lebih menyedihkan, masih ada yang seperti sengaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan yang berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Bagi penyanyi popular, Dayang Nurfaizah, dia juga kecewa dengan sikap sesetengah masyarakat yang seperti tidak kisah dengan keselamatan.

“Semua sedia maklum mengenai berita penularan wabak Covid-19 yang menyerang dunia ketika ini. Namun, apa yang membuatkan saya tertanya-tanya adalah kenapa masih ada yang berdegil dengan arahan kerajaan?

“Adakah mereka yang bersikap degil dan tidak mengendahkan arahan ini tak faham situasi yang berlaku atau tidak jelas dengan maklumat kerajaan keluarkan?” katanya.

Menurutnya, dia sendiri juga bekerja dari rumah dan tidak mahu mengambil risiko dengan berada di luar.

“Saya sendiri pun risau dengan situasi yang melanda negara kita hari ini. Di rumah, saya ada ayah sudah berusia dan anak saudara yang masih kanak-kanak.

“Jadi, kita perlu sentiasa berfikir mengenai orang yang ada di sekeliling kita. Jangan pentingkan diri sendiri sehingga ia boleh meragut keselamatan orang terdekat,” katanya.

Penyanyi lagu Lelaki Teragung dan Di Pintu Syurga itu juga meminta masyarakat supaya melihat tanggungjawab untuk berada di rumah dan mengikut arahan kerajaan sebagai tanggungjawab bersama.

“Apabila berhari-hari kena berada dalam rumah, tentunya ada rasa nak keluar dan sebagainya. Tapi, kalau boleh biarlah setiap individu ambil langkah untuk berada di dalam rumah sebagai tanggungjawab bersama.

“Mungkin ada antara kita yang tak faham situasi dan bahaya Covid-19, tapi buat masa sekarang, langkah terbaik adalah ikut saja arahan kerajaan,” katanya.

Dayang juga berkongsi, tempoh dua minggu berada di dalam rumah ini memberikannya ruang bersama keluarga di samping merehatkan vokalnya.

“Sebelum ini, saya mengalami batuk dan seperti selalu memerlukan masa yang agak lama untuk sembuh. Tapi, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, saya luangkan masa di rumah dan inilah masanya untuk rehatkan sekejap vokal saya.

“Ada juga masanya saya melakukan sedikit latihan untuk lagu baharu, X Missing You kerana saya sendiri belum pernah persembahkan lagu itu secara langsung.

“Banyak aktiviti yang kita boleh lakukan walaupun sekadar berada di dalam rumah. Antaranya, kita boleh memasak dan boleh juga bersenam di dalam rumah. Kalau tak ada aktiviti, ini masanya merehatkan minda,” katanya.

Ditanya mengenai kesan Covid-19 terhadap kerja seni, Dayang mengakui terpaksa membatalkan beberapa acara persembahan.

“Ada beberapa persembahan terpaksa dibatalkan dan ada juga yang pengurusan saya bincang dengan penganjur untuk tunda ke tarikh yang lain selepas semuanya reda.

TEMPOH 2 minggu berada dalam rumah berikan Dayang ruang bersama keluarga.
TEMPOH 2 minggu berada dalam rumah berikan Dayang ruang bersama keluarga.

“Sedikit sebanyak, apa yang berlaku memberikan kesan kepada saya sebagai penyanyi. Bukan saja saya, tetapi juga anak seni yang bekerja di dalam industri kerana tak semua dalam kalangan kami ada gaji tetap.

“Saya harap, kita dapat bersama-sama berdoa semuanya dipermudahkan dan dapat diselesaikan dengan baik. Insya-Allah,” katanya.

Terkini, Dayang baru saja melancarkan single baharu berjudul Gerak Dulu yang boleh didapati secara eksklusif di platform penstriman digital, Joox Originals.

Apa yang menarik, karya terbaharu ciptaan Faizal Tahir dan pasukannya yang terdiri daripada MFMF, Bil Musa dan ramai lagi ini, lari daripada karya kebiasaan yang disampaikan Dayang.

“Saya sendiri pun tak pernah menyanyi lagu berentak sebegini iaitu pop R&B yang disuntik dengan sedikit elemen hip hop yang moden. Jadi, sejujurnya ada rasa gementar ketika saya ditawarkan Faizal.

“Saya tak pernah bekerjasama dengan mereka yang lain kecuali Faizal. Namun, apa yang boleh saya katakan adalah mereka bakat muda yang mampu menghasilkan karya sejajar dengan apa yang sesuai dengan zaman sekarang,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai lagu itu, Dayang sendiri mengakui takut membawakannya.

“Saya bukan tak suka, tapi sangat takut sekiranya tak dapat membawakan lagu itu dengan baik. Tapi, bila difikirkan semula, peluang sebegini takkan datang selalu. Jadi, saya cuba saja,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran terbesar dalam menjayakan proses rakaman Gerak Dulu, Dayang berkongsi kesukaran dalam sebutan liriknya.

“Proses rakaman tak jauh berbeza dengan rakaman lagu terdahulu. Cabaran terbesar adalah untuk sebutan dalam liriknya dan itu menjadi perkara yang paling membimbangkan.

“Jadi, ada beberapa bahagian yang disusun semula untuk menjadikannya lebih mudah. Alhamdulillah, selepas beberapa kali proses rakaman, hasilnya pun memuaskan hati mereka,” katanya.

Berbicara mengenai karier seninya yang menjengah usia 20 tahun, Dayang meluahkan rasa syukurnya atas kelancaran perjalanan seninya.

“Saya bersyukur dengan perjalanan karier seni saya. Alhamdulillah, sudah masuk 20 tahun dan tahun ini, banyak perkara menarik yang berlangsung dalam karier saya.

“Antaranya adalah Konsert Kesuma Jiwa yang berlangsung pada Februari lalu. Itu konsert yang saya impi-impikan. Kemudian, satu lagi pencapaian adalah apabila dapat keluarkan single baharu dengan orang-orang muda yang sangat berbakat.

“Apa yang dapat saya katakan, kerjaya seni saya berkembang dengan positif dan pencapaian inilah yang sedikit sebanyak menyuntik semangat buat saya untuk terus berkarya,” katanya.

Apa yang pasti, walaupun sudah dua dekad beraksi di dalam industri muzik, Dayang akan terus diingati dan mendapat sokongan peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 6:00 AM