SINGLE terbaharu kini menduduki tangga ke-13 platform JOOX selepas dua hari dilancarkan.
SINGLE terbaharu kini menduduki tangga ke-13 platform JOOX selepas dua hari dilancarkan.
Najiy Jefri


SIAPA sangka, selepas dua hari dilancarkan single terbaharu Zizi Kirana berjudul Tentu menduduki tangga ke-13 di platform penstriman muzik, JOOX.

Tentu turut dilancarkan secara eksklusif oleh JOOX Malaysia sekali gus bakal membuai peminat muzik menerusi lirik yang mencerminkan pemerhatian dan pandangan Zizi mengenai kejadian semasa di seluruh dunia.

Zizi yang juga salah seorang komposer lagu terbabit berkata, tahun 2020 menjadi tahun yang mencabar bukan hanya kerana pandemik Covid-19, tetapi juga berita kematian rakan karibnya, Sandra Dianne.

Menurut Zizi, dia cuba menzahirkan kesedihan dan perjuangannya melalui masa-masa sukar ini ke arah kreativiti dan terlahirnya lagu terbabit.

"Tentu menutup tirai siri Super Producer JOOX ORIGINALS yang menghasilkan banyak lagu hit untuk peminat muzik Malaysia sepanjang tahun ini.

"Sekarang lagu ini boleh dinikmati peminat muzik dan tak sangka berjaya memasuki senarai hit Era Lagu Baru Nak Up.

"Bukan itu saja, ia juga berjaya menduduki tangga ke-13 di antara semua lagu Bahasa Melayu walaupun baharu dua hari dilancarkan," katanya.

Sementara itu, Ketua JOOX Malaysia, Angie Tan berkata, Tentu menutup tirai projek Super Producer untuk tahun 2020.

"JOOX dengan bangganya melancarkan single baharu Zizi berjudul Tentu sebagai penutup tirai untuk projek siri Super Producer kami yang sangat berjaya di Malaysia tahun ini.

ZIZI kini muncul dengan single baharu berjudul Tentu.
ZIZI kini muncul dengan single baharu berjudul Tentu.

"Sepanjang tahun ini, kami mengeluarkan banyak lagu hit untuk peminat muzik di Malaysia yang mendambakan perkhidmatan penstriman muzik yang menepati cita rasa tempatan sekali gus membentuk tabiat dan pilihan muzik mereka.

"JOOX akan terus menyediakan kandungan segar dan paling inovatif serta interaktif yang menyeronokkan kepada penggemar muzik Malaysia seperti fungsi karaoke yang mendapat sambutan hangat dan memberangsangkan.

"Karaoke JOOX tidak hanya memberikan peluang kepada pengguna JOOX untuk menunjukkan bakat muzik mereka tetapi mereka juga boleh berduet dengan bintang tempatan seperti Zizi Kirana," katanya.

Dalam pada itu, JOOX juga menyediakan platform untuk peminat yang teringin untuk berkongsi pentas dengan Zizi Kirana menerusi karaoke JOOX serta berpeluang untuk menyanyi bersama artis lain seperti penyanyi dan penulis lagu Sissy Imann.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 6:25 AM