BEYONCE
BEYONCE
Agensi

PENYANYI Beyonce mencuri perhatian dunia selepas memberikan ucapan sarat dengan mesej pada acara graduasi di alam maya, Dear Class of 2020 yang dianjurkan platfom terkenal YouTube, hari ini.

Penyanyi Listen itu mendedahkan cabaran dilalui bermula dalam industri muzik untuk mencapai tahap sekarang yang baginya masih penuh dengan isu berat sebelah kepada lelaki dan warna kulit.

"Industri hiburan masih kekal seksis, terlalu didominasi golongan lelaki. Sebagai wanita, saya tidak nampak golongan ini diberikan peluang seperti yang saya tahu dan perlu dilakukan. Untuk usahakan syarikat rakaman dan pengurusan sendiri, arah filem dan terbitkan siri jelajah.

"Terlalu kurang peluang diberikan kepada wanita berkulit hitam untuk menduduki meja penting, jadi saya sendiri terpaksa berbuat sesuatu untuk mencipta 'meja' buat diri sendiri. Kemudian, saya ajak yang terbaik untuk duduk di meja berkenaan.

"Ramai golongan kreatif dan ahli perniagaan yang sangat berkelayakan dan berbakat tidak diterima berkali-kali disebabkan mereka wanita atau perbezaan kaum. Saya sangat bangga apabila dapat memberikan mereka tempat di meja saya," katanya.

Terdahulu, penyanyi terbabit memuat naik ucapan video berkenaan bersempena program terbitan YouTube Originals.

Beyonce antara selebriti yang akan turut serta dalam acara meraikan pelajar yang bergraduasi tahun ini dengan cara tersendiri memandangkan dunia dilanda krisis pandemik Covid-19.

Selain itu, turut terbabit adalah bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama serta isteri, Michelle Obama, BTS, Lady Gaga, Alicia Keys, Tom Hanks dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 4:00 PM