JASPER beranikan diri laku pelbagai aktiviti lasak demi program Sumandak Duo.
JASPER beranikan diri laku pelbagai aktiviti lasak demi program Sumandak Duo.
Norhayati Nordin


ENGGAN dikenali dengan cerita sensasi, gosip dan kontroversi, pelakon Jasper Supayah, 27, mengambil langkah mengatur kerjaya seninya sebaik mungkin.

Selain terus aktif membina nama dalam bidang lakonan, Jasper juga tak lepas peluang ketengahkan bakat sebagai pengacara.

Untuk tahun ini, wanita kelahiran Johor itu mencuba nasib buat kali kedua sebagai pengacara dalam program Sumandak Duo yang akan disiarkan TV Okey, RTM.

Mengulas pembabitannya, Jasper berkata, dia melihat peluang diterima itu sebagai rezeki tahun baru.

“Dalam program Sumandak Duo ini saya bekerjasama dengan pengacara kelahiran Sabah dikenali Ixora Roselle. Istimewanya lagi, saya juga akan bermain ukelele sambil menyanyi lagu tempatan masyarakat Sabah dalam setiap episod,” katanya.

Program yang masih menjalani penggambaran di Sabah itu mempunyai 13 episod dan dia dijangka pulang ke ibu negara pada 7 Februari depan.

Ditanya mengenai cabaran, Jasper berkata, dia memberanikan diri melakukan pelbagai aktiviti lasak yang belum pernah dibuatnya.

“Saya tidak pernah mendaki, rendam kaki di spa ikan yang besar saiznya, memproses daun teh, berkhemah sehari di atas bukit dan banyak lagi. Saya bagaikan mencabar kemampuan diri. Walaupun ada perasaan takut dan bimbang, saya cekalkan hati tolak ke tepi semua itu. Syukur juga, Ixora banyak membantu. Ternyata, gandingan pengacara yang serasi penting supaya semua aktiviti dilakukan lancar,” katanya.

Berbicara mengenai destinasi menarik dikunjungi pula, Jasper berkata, dia berpeluang menjelajah ke beberapa tempat di Sabah yang diketahuinya sebagai lokasi tumpuan pelancong.

Katanya, dia dapat menjejak kaki antaranya di Kundasang dan Pasar Filipina yang pemandangan sangat menarik, sibuk dan menjadi tumpuan.

Jasper berkata, dia juga berasa sangat bertuah kerana pernah menimba pembelajaran dalam pengacaraan yang dikendalikan selebriti terkenal Datuk Aznil Nawawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 7:00 AM