SEPATUTNYA sudah ada lagu solonya sendiri namun menganggap belum rezekinya dalam bidang nyanyian
SEPATUTNYA sudah ada lagu solonya sendiri namun menganggap belum rezekinya dalam bidang nyanyian
Ridzuan Abdul Rahman

SEBAGAI bekas peserta Akademi Fantasia 2016, Jasper Supayah sepatutnya sudah mempunyai lagu solo nyanyiannya sendiri.

Bagaimanapun, perkara ini tidak berlaku dan dia yang kini aktif berlakon mengakui bengang setiap kali ditanyakan perkara ini.

"Tak dinafikan sakit hati juga dibuatnya kerana dah lama sangat menanti. Ditambah, bila ada juga penerbit drama yang tanya nak masukkan lagu nyanyian saya dalam drama dibintangi.

"Namun, malangnya hingga kini belum ada yang boleh diberikan. Padahal, saya dah banyak rakam lagu. Cuma, saya nampak rezeki dalam nyanyian belum sampai lagi.

"Tak mengapalah untuk ubati hati sendiri, saya menyanyi di Instagram (IG). Peminat boleh nampak saya masih aktif menyanyi. Sekarang pun, masih lagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jadi 'show' pun kurang dan saya ambil inisiatif menyanyi di media sosial untuk menghiburkan peminat," katanya.

Lupakan seketika soal nyanyian, Jasper, 27, sebaliknya bersyukur kerana graf lakonannya semakin meningkat apabila didatangi tawaran berlakon tanpa henti.

HARAP peminat menyokong semua artis tanpa mengira bangsa dan agama.
HARAP peminat menyokong semua artis tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kita tahu pandemik Covid-19 buat ramai hilang kerja. Ramai juga 'struggle' terutamanya, mereka yang berniaga. Lagi-lagi di kalangan rakan industri, yang tiada tawaran menyanyi dan sebagainya.

"Namun syukurlah saya masih dapat banyak tawaran berlakon selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Berturut-turut saya didatangi tawaran.

"Saya juga gembira kerana buat kali kedua, nama saya berjaya tercalon dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Syukur kerana selepas empat tahun berada dalam industri seni, saya dah mula dapat perhatian peminat," katanya.

Artis berdarah kacukan Cina-India (Chindian) berasal dari Johor Bahru ini mengakui, jujurnya perjalanan kariernya dahulu sangat susah.

"Banyak yang saya belajar daripada orang sekeliling dan rakan-rakan industri serta pekerja produksi yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

"Saya sibuk berlakon selama dua bulan tanpa henti lepas PKP. Sekarang, barulah berpeluang jenguk ibu bapa di Johor Bahru.

"Selain lakonan, saya juga gembira kerana semakin mendapat tempat dalam pengacaraan. Terbaharu, saya ditawarkan mengacara untuk projek kedua pula Disember nanti," katanya.

Menerusi pembabitannya sehingga kini, Jasper sudah membintangi drama antaranya Bukan Kahwin Paksa, Dayang Senandung, Derhaka Cinta Jebat, Bougainvillea, Kampung Pisang Bersiri-Siri, Langkah Terakhir dan Aku Yang Kau Gelar Isteri yang disiarkan di beberapa stesen televisyen.

JASPER gembira rezekinya dalam lakonan tidak pernah surut.
JASPER gembira rezekinya dalam lakonan tidak pernah surut.

Drama Roxana di Netflix

Turut berusaha menciptta nama dalam pengacaraan, Jasper sudah terbabit mengendalikan program Ku Cinta Dia dan Sumandak Duo untuk RTM serta TV Okey.

Jasper juga baharu selesai membintangi supertele aksi seram berjudul Roxana terbitan Nizra Entertainment untuk tayangan di Netflix yang disifatkannya antara peluang mencabar bagi kemampuan mental dan fizikalnya.

"Saya melakonkan watak Zaitun, seorang gadis yang ada tekanan perasaan dan skizofrenia mewarisi keturunannya.

"Suatu hari ada tragedi membabitkan kekasihnya Yus dengan kekasih rakannya, Roxana iaitu Arman sehingga berlaku sesuatu pada Zaitun membuatkan dia dirasuk.

"Sejak itu watak saya 'ditwist' jadi orang lain dan karakter dari yang 'simple' terus bertukar jadi menakutkan. Malah di set pun ramai yang takut mendekati saya," katanya yang kini terbabit dengan penggambaran drama Aisya & Bella sebagai pelakon utama untuk TV Okey.

Jasper mengharapkan agar peminat tempatan terus menyokong semua artis tanah air tanpa mengira agama dan bangsa.

ANTARA babak dalam supertele aksi seram Roxana yang dilakonkan Jasper.
ANTARA babak dalam supertele aksi seram Roxana yang dilakonkan Jasper.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 6:00 AM