AMIR adalah vokalis yang sama menganggotai Ukays dan UK's meskipun ketika itu ada anggota lain bertukar. FOTO Rohanis Shukri
AMIR adalah vokalis yang sama menganggotai Ukays dan UK's meskipun ketika itu ada anggota lain bertukar. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


BEKAS vokalis kumpulan Ukays, Amir bersyukur bakat nyanyiannya masih bertahan hingga kini kerana karya lagu berbisa komposer Saari Amri.

Amir, 50, berkata dia hanya bergantung menyanyikan lagu lama ciptaan Saari yang dirakamkan ketika bersama Ukays dulu.

"Saari adalah individu yang menjadi tulang belakang utama pada kejayaan dinikmati Ukays dengan lagu ciptaannya.

"Saya adalah vokalis bertuah kerana mendapat peluang merakamkan banyak lagu ciptaan Saari ketika bersama Ukays.

"Sampai sekarang, apa saja acara persembahan yang saya sertai pasti menyanyikan lagu popular Ukays," katanya.

Amir atau nama sebenar Mohd Azmir Muhammad Yusof berkata, lagu ciptaan Saari berjaya membawa Ukays berada di puncak kegemilangan pada era 1990-an lalu.

Menurutnya, terlalu banyak kejayaan pernah dicapai Ukays yang hingga kini mampu dibanggakannya selaku vokalis kumpulan itu.

Katanya, dengan lagu popular Ukays itu membuatkan dia tidak putus menerima tawaran persembahan nyanyian.

"Walaupun, jarang muncul di televisyen tetapi saya masih menerima tawaran persembahan makan malam korporat.

"Dengan tawaran persembahan itu juga membantu saya tidak berhadapan masalah pendapatan terjejas," katanya.

Mengulas mengenai nama Ukays dan UK's yang digunakan, Amir berkata, kedua-duanya boleh dipakai.

"Saya adalah vokalis yang sama menganggotai Ukays dan UK's meskipun ketika itu ada anggota lain bertukar.

"Jadi, kalau nak guna Amir Ukays boleh atau Amir UK's pun boleh. Tidak menjadi masalah pun," katanya.

Ditanya juga mengenai lagu baru, Amir berkata, buat masa ini dia selesa menyanyikan lagu lamanya.

Amir yang meninggalkan Ukays pada 1997, sangat popular dengan lagu ciptaan Saari seperti Kau Satu-Satunya, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Sebak, Rhythm Si Jantung Hati, Kekasihku Di Menara, Kerana Perpatah Lukaku Berdarah, Sesak, Pahit Akan Manis Akhirnya, Seksa, Tergaak Kau dan banyak lagi.

Sabtu lalu Amir dan Ukays muncul menjayakan Konsert Minggu Ini UK's Reunion disiarkan RTM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 6:26 PM