Syanty Octavia Amry


YAKIN dengan kualiti dan mutu grafik dihasilkan, filem animasi Ejen Ali The Movie dikatakan mampu bersaing dengan filem animasi antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, selepas melihat keseluruhan filem berkenaan, pihaknya berhasrat membawa filem berkenaan ke luar negara.

“Saya berpuas hati dan bangga dengan hasil kerja mereka yang terbabit dengan pembikinan filem itu. Dengan grafik bermutu tinggi, siapa sangka mereka yang terbabit adalah dalam lingkungan usia 25 hingga 28 tahun.

“Jika ada peluang, tidak mustahil kita akan membawa filem ini ke luar negara. Filem ini punya kekuatannya sendiri dan kami yakin ia mampu bersaing dengan filem animasi luar yang bakal ditayangkan di sini,” katanya pada majlis tayangan media filem berkenaan, malam tadi.

AHMAD Izham (tengah) pada Majlis Pelancaran Ejen Ali Misi Optimum di Sunway Pyramid, Kuala Lumpur.
AHMAD Izham (tengah) pada Majlis Pelancaran Ejen Ali Misi Optimum di Sunway Pyramid, Kuala Lumpur.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin merangkap pencipta watak animasi Ejen Ali.

Ejen Ali The Movie bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 28 November ini. Menelan belanja sebanyak RM6.5 juta, filem itu turut mensasarkan kutipan sebanyak RM20 juta.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu turut mendapat kerjasama daripada penaja utama iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta penaja bersama, Mydin dan Pediasure.

Bukalah Matamu menjadi lagu tema filem itu yang dinyanyikan Aisyah Aziz dan Bunga. Lagu ciptaan Altimet, Cuurley dan Malik Abdullah berjudul Kita Jaga Kita turut digunakan dalam filem berkenaan.

Ejen Ali The Movie mengisahkan kanak-kanak berusia 12 tahun yang dikenali sebagai Ali yang dipilih menjadi penyiasat sebuah agensi perisikan, Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bukan dia sahaja yang mengawal gajet istimewa yang dikenali sebagai Infinity Retinal Intelligence System atau IRIS, sebaliknya juga boleh dikawal semua ejen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 12:47 PM