AHMAD Izham (dua kiri) Usamah Zaid (empat kiri) bersama para pelakon suara pada sidang media Ejen Ali The Movie di GSC Mid Valley Megamall.
AHMAD Izham (dua kiri) Usamah Zaid (empat kiri) bersama para pelakon suara pada sidang media Ejen Ali The Movie di GSC Mid Valley Megamall.
Syanty Octavia Amrys


Selepas dua musim bersiaran di kaca televisyen, siri animasi popular Ejen Ali akan menemui penonton serentak di pawagam tiga negara bermula 28 November depan.

Selain di Malaysia, filem Ejen Ali The Movie akan ditayangkan di Singapura dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, berikutan sambutan hangat yang diterima daripada peminat setia siri Ejen Ali pihaknya berbesar hati mengangkat naskhah popular itu ke layar perak.

“Kami sangat menghargai sokongan padu yang diberikan peminat tegar Ejen Ali. Selepas melihat kejayaan siri ini selama dua musim di TV, kami berharap peminat berpuas hati dengan filemnya yang mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan ini,” katanya pada majlis pelancaran filem berkenaan, petang tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Pada majlis itu, turut diperkenalkan penaja utama filem berkenaan iaitu Tenaga Nasional Berhad, Mydin dan Pediasure.

Turut dilancarkan dua lagu temanya iaitu Bukalah Matamu nyanyian Aishah Aziz serta Bunga dan Kita Jaga Kita oleh Altimet, Cuurley dan Malik Abdullah.

Dalam pada itu, beberapa siri jelajah dan aktiviti mempromosikan filem Ejen Ali The Movie turut diadakan sepanjang tayangan berlangsung. Terdahulu, filem edaran Primeworks Studios itu menjadi salah satu daripada jenama animasi popular Asia yang berjaya meraih lebih 2 juta penonton di TV3 serta mempunyai lebih daripada 1.4 juta pengikut di laman rasmi YouTube.

Malah, sejak ditayangkan pada 2016, ia berjaya meraih minat media antarabangsa dan berjaya menembusi siaran di lebih 50 negara termasuklah rangkaian Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV Indonesia dan AlMajeed TV di serantau Timur Tengah serta Afrika Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:35 PM