USAMAH (tengah) ketika menerima trofi kemenangan FFM31 pada sesi karpet merah.
USAMAH (tengah) ketika menerima trofi kemenangan FFM31 pada sesi karpet merah.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Filem animasi Ejen Ali The Movie menang kategori Filem Box Office Terbaik pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan Pengarah Ejen Ali The Movie, Usamah Zaid Yasin berkata, kemenangan diraih adalah hasil kerja keras semua pasukan.

"Ini kemenangan pertama kami di FFM31. Pada FFM sebelum ini kami pernah menang filem pendek. Terima kasih pada semua rakyat Malaysia yang sudah menonton filem ini sehingga menjadikan kami filem yang mendapat kutipan tertinggi pada 2019. Malah ada sampai enam kali pergi tengok.

"Terima kasih kepada Primeworks Studio kerana memberikan kepercayaan dan MDEC yang memberi sokongan dan sudah tentu pasukan yang bekerja kerasa. Tahniah ini kemenangan kita bersama," katanya.

Ejen Ali The Movie meraih kutipan RM32.5 juta di empat negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Di Malaysia saja, filem ini mencecah kutipan lebih RM30 juta.

Selain kategori itu, Ejen Ali The Movie turut memenangi kategori Penataan Bunyi Terbaik (Fadhli Abu Shafian, Hakim Kamal dan Shafiq Isa).

Selain trofi, pemenang turut menerima wang tunai RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 9:02 PM