Najiy Jefri

PRIMEWORKS Studios menyasarkan kutipan RM20 juta untuk filem animasi terbaru terbitan mereka, Ejen Ali The Movie yang dijangka ditayangkan akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, pihaknya percaya filem terbabit bakal diterima pelbagai lapisan masyarakat hasil impak dan populariti animasi berkenaan.

“Industri perfileman tempatan dilihat mencatatkan peningkatan kutipan positif termasuk animasi BoboiBoy The Movie yang mencatat kutipan RM16 juta.

“Justeru sokongan kaki wayang dan pawagam diharap mampu melonjakkan pulangan terhadap filem yang dijangka dapat memasuki 120 pawagam ini.

“Anggaran RM20 juta itu adalah untuk pasaran tempatan sahaja. Kita harap populariti animasi yang dipasarkan di 50 negara ini juga mampu menempatkan Ejen Ali The Movie dalam kalendar pawagam luar, “ katanya di majlis tontonan teaser pertama filem itu, di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid.

Dalam masa sama, Primeworks dan Wau Animation turut melancarkan acara Misi: MATA Academy di pusat beli-belah berkenaan berinspirasikan agensi perisikan rahsia daripada siri animasi Ejen Ali itu.

Pengunjung boleh membawa anak masing-masing menyelami dunia risikan secara percuma menerusi beberapa permainan yang dibuka sepanjang cuti sekolah hingga 2 April depan.

Dalam pada itu, Usamah mengesahkan komposer Altimet bakal membuat kemunculan khas dalam filem animasi itu apabila bakal menghasilkan lagu tema filem berkenaan.

"Menariknya dalam filem ini, Altimet bersetuju untuk terbabit dalam penerbitan lagu tema, namun adakah watak animasi untuknya diwujudkan dalam filem ini, kita tunggu nanti kejutannya.

“Selain Altimet, kami juga dalam proses untuk mencari selebrti lain untuk terbabit dalam filem ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 12:26 PM