RAMLI, Ella teruja kongsi pengalaman pada Konsert Kembara Kita tahun depan.
RAMLI, Ella teruja kongsi pengalaman pada Konsert Kembara Kita tahun depan.
Oleh Syanty Octavia Amry


DUA legenda rock Malaysia bakal berkongsi pentas pada Konsert Kembara Kita yang akan berlangsung pada 14 dan 15 Februari tahun depan.

Konsert yang akan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur itu menampilkan Datuk Ramli Sarip dan Ella yang akan menghiburkan penonton kira-kira dua jam.

Ramli berkata, idea itu tercetus ketika pemain gitar, Allahyarham Fauzi Samin atau Aji meluahkan hasrat mahu melihat Ramli dan Ella bersatu dalam sebuah konsert.

“Aji mahu melihat konsert ini menjadi sebuah konsert rock n roll dan blues berjaya dan menjadi kenyataan. Saya juga percaya sudah lama peminat kami berdua menantikan konsert sebegini apatah lagi pengisiannya lebih banyak menjurus kepada lagu rock & roll dan blues,” katanya.

Ramli berkata, pemilihan nama Kembara Kita juga sebagai simbolik perjalanannya dan Ella dalam bidang seni selama ini.

“Kembara Kita bukanlah sekadar konsert biasa, kami akan berkongsi perjalanan muzik secara peribadi dan pengalaman yang ada selama bergelar anak seni.

“Momen magis akan dikongsi pada hari konsert itu nanti, mungkin ada yang sudah lupa atau belum pernah kami kongsi sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ella berkata, dia berbesar hati dapat menunaikan impian Aji dan pada masa sama teruja, gementar serta tidak sabar menghiburkan penonton.

“Saya teruja kerana kali pertama berkongsi pentas membuat persembahan dengan Ramli, harapnya kami dapat memberikan sesuatu yang menarik dan berlainan daripada apa kami persembahkan sebelum ini.

“Insya-Allah kami juga merancang tampil dengan sebuah lagu duet baharu istimewa yang akan dipersembahkan pada malam konsert itu nanti,” katanya.

Berkongsi sejarah pertemuan dua legenda hebat ini, mereka kali pertama bekerjasama apabila Ramli menerbitkan album Ella berjudul Pengemis Cinta pada 1989.

Ramli turut menerbitkan dua lagi album Ella iaitu Puteri Kota dan Identiti.

Tiket konsert dijual bermula pada harga RM110 hingga RM510. Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket tempahan melalui www.ilassotickets.com atau hotline 03-21706333.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 5:00 AM