Syanty Octavia Amry

Perasaan sayu menyaksikan keadaan rumah mangsa banjir di pantai timur yang musnah teruk menguatkan lagi semangat Datuk Ramli Sarip untuk melakukan sesuatu.

Melihat kejadian itu dengan mata kepalanya sendiri, turut mengingatkan Ramli sedikit masa lalu dia turut pernah ke Meulaboh, Aceh bagi melihat keadaan mangsa kejadian Tsunami pada 2004.

Atas rasa simpati dan ingin membantu, Ramli bersyukur kerana hasrat murninya itu mendapat sokongan daripada AmBank untuk sama-sama mengadakan konsert bagi mengumpul dana membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

Konsert yang diberi nama Doa Langit dan Bumi itu bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Februari depan bermula jam 2.30 petang.

Berkongsi perasaannya, Ramli berkata, dia sangat berterima kasih kepada AmBank kerana sudi melaksanakan hasrat murninya itu.

"Semuanya berlaku selepas konsert Ambang Tahun Baru yang membabitkan saya terpaksa dibatalkan bagi menghormati mangsa banjir.

"Saya difahamkan peruntukan untuk mengadakan konsert Ambang Tahun Baru itu masih ada, justeru daripada ia tidak digunakan saya memberikan idea untuk mengadakan konsert seperti ini bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Alhamdulillah mereka bersetuju dan saya harap orang ramai sama-sama hadir memeriahkan konsert ini yang pastinya membuatkan mereka rasa berbaloi," katanya.

Mengulas mengenai konsep pada konsert petang itu nanti, Ramli berkata, konsert ini turut menjemput beberapa artis terkenal seperti Datuk M Nasir, Awie, Ella dan Datuk Hattan.

"Konsert ini diadakan selama dua jam setengah di mana setiap artis membawakan lagu hit masing-masing di samping lagu berkaitan alam dan kehidupan.

"Saya juga gembira, disebabkan ini adalah konsert amal untuk mengumpul dana, semua artis yang terbabit faham dan mereka tidak meletakkan bayaran yang tinggi meskipun masing-masing punya nama besar dalam industri seni," katanya.

Ramli berkata, hasil kutipan konsert disumbangkan kepada beberapa negeri yang terbabit antaranya Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu.

"Sumbangan yang diberi mengikut keadaan sesuatu negeri seperti di Kelantan semua maklum keadaannya sangat teruk," katanya.

Dia berkata, jika tiada halangan diharap konsert seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi membantu mangsa banjir di tempat lain pula.

Selain itu, konsert berkenaan bakal disiarkan secara langsung di saluran ntv7, orang ramai yang ingin menyaksikan konsert secara live bolehlah mendapatkan tiket berharga RM153 melalui hotline 03-79576088 atau layari laman web www.ilassotickets.com

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:04 AM