RAMLI dengan persembahan hebatnya.
RAMLI dengan persembahan hebatnya.
RAIHAN turut berikan sokongan.
RAIHAN turut berikan sokongan.
DUET Ramli dan Ella.
DUET Ramli dan Ella.
Nor Akmar Samudin


Walaupun penaja menarik diri pada saat akhir, Datuk Ramli Sarip teruskan juga hasrat mengadakan konsert khusus untuk mengutip dana bagi membantu etnik Rohingya yang bertahun-tahun tertindas.

Mengikut perancangan asal, konsert itu akan diadakan selama dua hari, tetapi dengan ketiadaan penaja, hanya satu persembahan diadakan iaitu Konsert Gala Pelarian di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Dengan kekangan bajet, konsert itu tetap diadakan dengan jayanya Jumaat lalu sekali gus berjaya mengutip RM3,468 menerusi ‘kotak sumbangan’.

Wang itu akan digunakan untuk melakukan ibadah korban pada Aidiladha ini.

Pada konsert anjuran Rasa Music Sdn Bhd itu, Ramli tidak berseorangan apabila persembahannya pada malam itu turut disertai Ella.

Mereka berdua rasa bertanggungjawab untuk memberikan sedikit keceriaan kepada kumpulan etnik itu terutama menjelang musim perayaan ini.

Ramli dan Ella tampil sebagai penghibur utama, manakala Raihan dan Pekin Ibrahim sebagai artis undangan.

Persembahan mereka diiringi pemuzik hebat seperti Man Kidal (gitar), Aji Samin (gitar), Rizal Halim, (gitar), Din Safari (bass), Rozario Rasul (keyboard), Tom Anuar (dram), Kamarulbahri, Paang Zaman dan Ude Wahid sebagai pemain gendang serta perkusi.

Konsert yang mendapat sokongan PWTC dan Perodua ini turut menawarkan sebuah kereta Perodua Axia sebagai hadiah cabutan bertuah.

Ramli berkata, dia gembira kerana konsert itu tetap berjaya walaupun penaja menarik diri pada saat akhir.

“Hasrat saya untuk membantu etnik Rohingya tercapai. Kita bertuah kerana hidup dalam negara yang aman dan makmur. Jadi kita berilah mereka sedikit ruang supaya dapat merasai kehidupan yang gembira dan ceria.

“Mungkin sumbangan yang diberikan itu tidak seberapa namun saya yakin keikhlasan untuk memberi itu lebih bererti,” katanya.

Pada malam itu, Ramli dan Ella menghiburkan penonton dengan lagu Orang Asing, Pelarian, Hilang Gelap Terbit Terang, Dunia Perlumbaan, Budaya, Jikalau Berkasih, Teratai, Permata Biru, Layar Impian, Dua Insan Bercinta, Kembara Kita, Tersendiri, Zakiah, Jangan Tunggu Lama-Lama, Thank You Allah, Batu, Ribut 10.59 Pagi, Kamelia, Sejuta Wajah dan Ufuk Nurani.

Sementara itu, Raihan muncul dengan lagu Bukan Kerana Nama.

Sebelum itu, pada 6 Ogos lalu, Ramli muncul dalam persembahan Konsert Gala Pelarian di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur yang turut mendapat sambutan apabila tiket habis dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 2:11 PM