ALVIN Chong. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ALVIN Chong. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Syanty Octavia Amry

TIDAK pernah berputus asa untuk bergelar anak seni yang berjaya, pelakon dan penyanyi Alvin Chong tidak kecewa walaupun namanya suram kebelakangan ini.

Alvin, 28, berkata, walaupun tawaran berlakon kurang diterima dan lagu nyanyiannya kurang sambutan, dia bersyukur undangan mengadakan persembahan nyanyian tidak putus diterima.

Alvin yang menyasarkan pasaran Melayu untuk mengembangkan bakat lakonannya juga akur apabila tawaran berlakon drama Melayu kurang diterima.

Merasakan rezekinya belum tiba ketika ini, tawaran yang diterima pula sering bertindih dengan jadual persembahan nyanyian.

“Saya akui sedih apabila sudah lama tidak berlakon drama Melayu, malah kadang-kadang tawaran kurang diterima.

“Lebih menyedihkan apabila tawaran datang bertindih pula dengan jadual persembahan nyanyian. Kadang-kadang kecewa juga kenapa perkara ini sering berlaku, namun saya tidak akan berputus asa dan terus mencuba.

“Saya bukan jenis yang suka membodek dan tidak suka bersikap hipokrit tetapi akan terus memperbaiki mutu lakonan untuk lebih diterima,” katanya.

Alvin berkata, walaupun sudah tampil dengan album baharu, namun lagunya tidak menjadi sohor kini dan kurang mendapat sambutan.

Jadi, dia cuba untuk lebih fokus terhadap lakonan dan mengakui drama bersiri antara yang banyak menaikkan namanya.

“Walaupun album dan lagu saya kurang sambutan saya masih sibuk dengan undangan nyanyian. Saya sudah meletakkan sasaran untuk fokus sama dalam lakonan dan seboleh-bolehnya nya saya cuba memenuhi jadual yang ada dengan lakonan tetapi belum berkesempatan,” katanya.

Alvin berkata, dia ada berlakon beberapa telefilem tetapi namanya lebih diingati menerusi drama bersiri.

“Tidak saya nafikan sehingga hari ini orang lebih mengenali saya menerusi drama Suri Hati Mr Pilot dan Awak Suka Saya Tak.

“Disebabkan itu saya berharap dapat berlakon drama bersiri lagi, tetapi pasaran sukar mengambil pelakon Cina mungkin juga kerana sudah ramai pelakon Cina membabitkan diri untuk drama Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alvin bakal tampil dengan filem Cina berjudul Man In Red yang menggandingkannya dengan pelakon Hong Kong dan Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:30 AM