SITI Syafiah pada Taklimat Fungsi dan peranan Puspal bagi permohonan penggambaran Filem dan persembahan artis luar negara di Sri Pentas.
SITI Syafiah pada Taklimat Fungsi dan peranan Puspal bagi permohonan penggambaran Filem dan persembahan artis luar negara di Sri Pentas.
Syanty Octavia Amry


SALAH faham dan kurang pengetahuan mengenai fungsi Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) menyebabkan segelintir penganjur persembahan menyalahkan Puspal apabila artis luar yang dibawa tidak dibenarkan membuatkan persembahan di negara ini.

Ketua Unit, Unit Keurusetiaan JK-PUSPAL, Siti Syafiah Noryana Mohd Nor berkata, mana-mana syarikat atau penganjur yang berhasrat membawa artis luar mengadakan persembahan atau menjalani penggambaran di sini perlu mendapatkan sokongan daripada Puspal.

Katanya, sokongan Puspal adalah asas rujukan kepada pihak-pihak berkuasa untuk mempertimbangkan kelulusan atau permit mengikut bidang kuasa masing-masing termasuklah Jabatan Imigresen untuk mengeluarkan permit kerja iaitu Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK).

“Ramai yang masih tidak tahu fungsi Puspal sebagai pusat setempat yang bertindak menyelaras dan mempertimbangkan kelulusan permohonan daripada penganjur bagi membawa artis luar negara untuk membuat persembahan (bekerja) di sini.

“Keputusan permohonan boleh diketahui selewat-lewatnya 14 hari bekerja daripada tarikh permohonan lengkap dikemukakan dan penganjur boleh mengemukakan permohonan secara serentak kepada pihak-pihak berkuasa yang lain seperti pihak PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan polis mengikut tempoh pemprosesan yang diperlukan pihak berkuasa berkenaan.

“Selepas berjaya mendapatkan sokongan Puspal, barulah penganjur boleh mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Imigresen untuk permit kerja, PBT untuk melangsungkan acara dan polis jika ingin mengadakan perhimpunan,” katanya pada sesi taklimat mengenai peranan Puspal di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, hari ini.

Siti Syafiah berkata, ada sesetengah pihak salah faham dan beranggapan Puspal sengaja menyusahkan penganjur dengan tidak memberikan permit untuk artis luar mengadakan persembahan di sini.

“Terdapat beberapa faktor menyebabkan permohonan penganjur tidak dapat disokong Puspal. Di dalam sesetengah keadaan, penganjur mengenepikan nasihat Puspal dan meneruskan persembahan yang jelas melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau merujuk kepada penyanyi Amerika Syarikat, Maggie Lindemann yang ditahan ketika sedang mengadakan persembahan di sini, baru-baru ini.

Siti Syafiah berkata, puncanya adalah kerana penganjur yang juga pemilik premis lokasi persembahan tidak mendapatkan lesen hiburan sementara daripada PBT tetapi tetap meneruskan persembahan.

Katanya, dalam perkara ini, artis juga perlu mengambil tahu sama ada permohonan dan permit sudah diperoleh atau belum.

“Apa yang berlaku terhadap Maggie adalah kerana kegagalan penganjur mematuhi undang-undang iaitu gagal mengemukakan permohonan bagi mendapatkan lesen hiburan sementara dan mengingkari nasihat Puspal untuk tidak meneruskan persembahan.

“Apabila berlaku, ia tidak hanya membabitkan penganjur, tetapi pemilik lokasi dan artis juga akan ditahan dan disoal siasat oleh pihak berkuasa” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:59 PM