HUSSEIN, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
HUSSEIN, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis sudah mengambil 13 keterangan bagi membantu siasatan berhubung tindakan kumpulan pop rock The 1975 yang berkelakuan tak senonoh dan jelik ketika persembahan di pentas Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua keterangan diambil daripada pengadu, penganjur dan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

"Setakat ini polis menerima 18 laporan, lapan daripadanya daripada kontinjen Selangor dan 10 membabitkan kontinjen luar.

"Polis juga kini dalam tindakan untuk mendapatkan dokumen berkaitan kelulusan festival dari Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dan semakan imigresen berkaitan rekod keluar masuk artis berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis juga sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Terdahulu, persembahan kumpulan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, pada Jumaat.

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki hingga esok dibatalkan serta-merta.

Menerusi catatan di Facebook itu, Fahmi berkata pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:05 PM