ANTARA penunggang motosikal yang diperiksa dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar Jalan Ampang dan Tasek Permai, Ampang Jaya, awal pagi semalam. FOTO ihsan polis
ANTARA penunggang motosikal yang diperiksa dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar Jalan Ampang dan Tasek Permai, Ampang Jaya, awal pagi semalam. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Polis menyita lima motosikal atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar Jalan Ampang dan Tasek Permai, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi itu dijalankan seorang pegawai dan 15 anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Katanya, operasi dijalankan bermula jam 1 hingga 3 pagi di beberapa lokasi tumpuan penunggang motosikal berkumpul iaitu di sekitar Jalan Ampang dan Tasek Permai.

"Sebanyak lima motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 6(4) akta sama kerana kesalahan pengubahsuaian ekzos, tiada lesen memandu sah dan lain-lain kesalahan.

"Semua motosikal yang disita itu kemudian dibawa balik ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa seramai 28 individu bersama 24 motosikal.

"Sebanyak 50 saman dikeluarkan atas kesalahan lazim seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai ekzos dan lain-lain kesalahan.

"Pemeriksaan dan penahanan secara rambang dijalankan dengan memberi fokus kepada kenderaan yang melakukan pengubahsuian keterlaluan pada bahagian-bahagian tertentu.

"Ini terutamanya kenderaan seperti motosikal dan juga penunggangnya yang berpotensi melakukan aksi-aksi yang merbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 1:16 PM