MOHAMMAD Al-Fateh baru dua tahun 'mendapat kaki' selepas menjalani pembedahan untuk membantu pergerakan dan membesarkan ototnya. FOTO Sadiq Sani
MOHAMMAD Al-Fateh baru dua tahun 'mendapat kaki' selepas menjalani pembedahan untuk membantu pergerakan dan membesarkan ototnya. FOTO Sadiq Sani
MOHAMMAD Al-Fateh yang mengalami masalah kaki tidak sempurna beriadah bersama ahli keluarga di Taman Tasik Danau Kota. FOTO Sadiq Sani
MOHAMMAD Al-Fateh yang mengalami masalah kaki tidak sempurna beriadah bersama ahli keluarga di Taman Tasik Danau Kota. FOTO Sadiq Sani
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kelincahan dan keceriaan Mohammad Al-Fateh Mohammad Nur'Izwan berlari dengan memakai alat sokongan pergelangan kaki menunjukkan semangat positif kanak-kanak itu biarpun langkahnya tidak sekuat rakan seusianya.

Mohammad Al-Fateh, 7, dikesan menghidap spina bifida atau kecacatan tulang belakang sejak berusia dua tahun yang menyebabkan kanak-kanak itu mengalami masalah saraf dan bahagian pinggang hingga kaki lemah dan kurang berdaya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu sebelum ini hanya boleh merangkak dan baru dua tahun dia 'mendapat kaki' selepas menjalani pembedahan ketika berusia empat tahun untuk membantu pergerakan dan membesarkan ototnya.

Ibunya, Julianis Daismal, 35, berkata, anaknya disifatkan seorang yang kuat semangat dan tidak berasa rendah diri dengan kekurangan dirinya menjadikan dia dan suami, Mohammad Nur'Izwan Samsudin, 36, sentiasa positif.

Menurutnya, sebelum ini doktor menjangkakan anaknya tidak boleh berjalan seumur hidup, namun tidak membuatkannya berputus ada, malah sentiasa positif dan mencari maklumat untuk berusaha mengubati Mohammad Al-Fateh.

"Selepas menjalani pembedahan anak boleh berjalan pada usianya lima tahun. Kami memang tak sangka tetapi bersyukur dan gembira melihat anak boleh berjalan dan kini semakin aktif biarpun cara berjalan tidak seperti orang biasa.

"Anak perlu menggunakan alat sokongan iaitu 'ankle-foot orthosis' (AFO) lapan jam setiap hari untuk membantu postur kaki yang lebih baik kalau tidak dia akan berjalan dengan mengheret kaki," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, anak juga mempunyai masalah pundi kencing dan memerlukan bantuan untuk mengeluarkan lebihan air kencing selain kanak-kanak itu mempunyai empat buah pinggang namun keadaan itu tidak membahayakannya.

"Anak ada dua buah pinggang di bahagian kiri dan kanan cuma di bahagian kanan organ itu bercantum serta besar, malah ada dua tiub saluran air kencing di kedua-dua belah.

"Bagi kami anak sangat istimewa dan Mohammad Al-Fateh juga sangat menghargai 'kakinya', malah walaupun tak boleh berjalan dengan sempurna tetapi anak tak pernah mengeluh atau berasa rendah diri dengan kekurangan itu," katanya menetap di Kampung Changkat, Gombak.

Julianis berkata, dia dan suami suka membawa Mohammad Al Fateh meneroka persekitaran sesuai perkembangan usianya dan mengakui anaknya sering menjadi perhatian ramai.

"Rakan sekolah anak juga selalu tanya mengenai kakinya dan saya beritahu anak sakit sejak lahir. Rakan anak juga selalu bersedia membantunya di sekolah dan saya bersyukur anak berada dalam persekitaran positif.

"Kami suka apabila orang tanya dan akan ceritakan mengenai penyakit anak sebagai pendedahan kerana ketika ini ramai masih kurang tahu mengenai penyakit itu selain suka kongsi di TikTok untuk berkongsi pengalaman dan rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 1:29 PM