Han Byul.
Han Byul.

Kuala Lumpur: Penyanyi, Han Byul tidak akan beraksi di pentas Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia yang dijadualkan berlangsung selama dua malam, bermula malam ini dan esok di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Penganjur, Nazrul Asraf Mahzan memaklumkan, ia berpunca daripada masalah dengan Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

"Han Byul merupakan salah satu tarikan untuk konsert ini dan kami pasti peminatnya menantikan penyanyi luar untuk menyanyi serta menghargai muzik dan irama tanah air kita. Malah Han Byul dilihat memberikan komitmen terhadap konsert ini.

"Adalah menjadi satu cabaran dan kesulitan buat pihak penganjur apabila Puspal tidak melepaskan kelulusan untuk Han Byul sedangkan dia mempunyai peminat tersendiri di Malaysia di samping rekod yang bersih.

"Tambahan pula, Han Byul adalah juara program Big Stage yang turut dianjurkan di Malaysia," katanya.

Tambahnya, apa yang berlaku menjadi satu kerugian besar buat industri seni yang terlepas peluang untuk memperkenalkan irama warisan keroncong Malaysia ke peringkat antarabangsa.

"Sayang sekali peluang untuk memperkenalkan irama warisan keroncong Malaysia ke peringkat antarabangsa dan dinyanyikan oleh penyanyi berbangsa Korea yang juga pemenang Program Big Stage di Malaysia terbeku begitu sahaja dan ditolak sebarang rayuan oleh pihak Puspal," katanya.

Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia akan diteruskan dengan persembahan oleh artis-artis hebat tanah air antaranya Datuk Yusni Hamid, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie dan Datin Alyah.

Selain itu, akan turut ditampilkan barisan artis baharu antaranya, Rasyidah Abd Rahim (Bintang Klasik 2012), Rizal Ahmad (Juara Bintang Nostalgia 2013) dan Jamilah Abu Bakar (Puteri Keroncong).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 4:34 PM