ONN Hafiz ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini. FOTO MEDKOM
ONN Hafiz ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini. FOTO MEDKOM
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka mampu meningkatkan pendapatan isi rumah di negeri ini kepada RM13,000 sebulan.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jangkaan itu digariskan kerajaan Johor bagi memperincikan sasaran makro dan indikator yang mahu dicapai melalui pembangunan JS-SEZ.

Katanya, kerajaan Johor berkeyakinan penubuhan JS-SEZ dijangka dapat melonjakkan sektor ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Menurutnya, tiga sasaran makro dan indikator digariskan untuk dicapai melalui pembangunan JS-SEZ di mana ia mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan agenda Maju Johor 2030.

"Pertamanya, kerajaan negeri menyasarkan JS-SEZ mampu merekodkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion melalui pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus.

"Kedua, kerajaan negeri menyasarkan pendapatan isi rumah meningkat kepada RM13,000 sebulan dengan mengambil kira limpahan ekonomi.

"Ketiga, pembangunan JS-SEZ juga dijangka mampu menghasilkan 400,000 peluang pekerjaan baru yang berpendapatan tinggi di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Terdahulu, Amira Aisya Abd Aziz (Muda-Puteri Wangsa) meminta penjelasan pelan kerajaan bagi menarik pelaburan langsung asing ke Johor di samping pelan bagi memastikan manfaat JS-SEZ menerima kesan limpahan ke daerah lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu berkata, Johor akan mengikuti model kejayaan zon ekonomi Shenzen, China dalam menterjemahkan pembangunan JS-SEZ.

Menurutnya, delegasi kerajaan negeri mengadakan lawatan kerja ke Shenzhen, Mac lalu bagi mempelajari bagaimana wilayah berkenaan berubah daripada sebuah perkampungan nelayan kepada satu daripada zon ekonomi utama China.

"Mereka memberikan maklum balas positif dan mempunyai keyakinan yang cukup tinggi untuk datang melabur di Johor.

"Keyakinan ini berasaskan kepada beberapa faktor antaranya kedudukan geografi Johor sangat strategik dan ketersediaan tanah untuk pelbagai sektor ekonomi.

"Selain itu, Johor juga mempunyai infrastruktur yang baik meliputi pelabuhan, lapangan terbang, jaringan jalan raya dan utiliti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 2:01 PM