KHAI Bahar (kiri), Wany Hasrita dan Sufian Suhaimi akan terus beri komitmen walau apa yang terjadi. -Foto NSTP
KHAI Bahar (kiri), Wany Hasrita dan Sufian Suhaimi akan terus beri komitmen walau apa yang terjadi. -Foto NSTP
Sudirman Mohd Tahir


KONSERT Trio membabitkan penyanyi Khai Bahar, Wany Hasrita dan Sufian Suhaimi yang sepatutnya berlangsung di empat lokasi ditukar menjadi satu lokasi sahaja iaitu di Shah Alam pada 2 November ini.

Tiga lokasi lain itu adalah Expo @ Danga City Mall, Johor Bahru (3 Julai), Stadium SUKPA, Kuantan (17 Ogos) dan Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar (5 Oktober).

Pengarah konsert, Mohd Azlan Abd Sukor ketika dihubungi mengakui masalah penajaan dan penjualan tiket punca konsert itu ditunda.

“Pihak penaja tidak boleh beri banyak, jadi mereka minta satu lokasi sahaja. Selepas berbincang dengan pasukan dan beberapa pihak terbabit, semua setuju.

“Asal sahaja konsert ini tidak dibatalkan terus. Sekurang-kurangnya dapat buat satu pun sudah okay. Jadi, kami kena berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan ia dilaksanakan.

“Walaupun ia menjejaskan kredibiliti penganjur dan nama penyanyi, saya anggap ia masalah teknikal yang tak boleh dielak.

“Lagi satu, berdasarkan kaji selidik kami, peminat artis ini tak beli tiket Kerana sudah biasa menonton persembahan secara percuma di mana-mana acara,” katanya kepada Harian Metro.

Azlan berkata, hanya 10 peratus tiket terjual untuk setiap lokasi sejak awal April lalu.

“Peminat yang sudah beli tiket untuk tiga lokasi lain akan digantikan dengan tiket konsert di Shah Alam. Kami akan beri tiket baru atau boleh memilih pemulangan semula wang dan akan dihubungi secara berkala.

“Kami mewakili pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi. Kami amat menghargai sokongan daripada peminat.

“Insya-Allah, untuk konsert pada November ini kami ada perancangan lain yang dirasakan lebih efisyen. Mungkin nak hadkan jumlah penonton. Kalau penaja bagi banyak, kami bagi tiket percuma sahaja. Jika tidak, harga tiket akan diturunkan,” katanya.

Sementara itu, Wany ketika dihubungi menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan dan bukan rezeki.

“Apa yang berlaku di luar kawalan kami sebagai penyanyi. Ini semua kerja penganjur dan terima apa sahaja keputusan mana yang dirasakan terbaik.

“Saya juga memahami situasi yang berlaku, jadi terima dengan hati terbuka. Kepada peminat, teruskan menyokong kami dan jangan lupa beli tiket untuk 2 November ini,” katanya.

Bagi Khai pula, keputusan yang dibuat tidak menghalang dirinya untuk terus memberikan komitmen.

“Terkejut juga apabila diberitahu hanya satu lokasi sahaja. Apa pun, mungkin ini yang terbaik untuk semua pihak.

“Saya tetap akan memberikan komitmen dan buat yang terbaik demi kejayaan konsert ini. Saya harap peminat pun faham dan jangan putus asa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 3:02 PM