JEREMY (kanan sekali) bersama Robert Downey Jr (dua dari kiri), Brie Larson (tiga dari kiri) dan pengarah filem Avengers: Endgame, Joe dan Anthony Russo.
JEREMY (kanan sekali) bersama Robert Downey Jr (dua dari kiri), Brie Larson (tiga dari kiri) dan pengarah filem Avengers: Endgame, Joe dan Anthony Russo.
Amirul Haswendy Ashari melaporkan dari Seoul


PELAKON memegang watak Hawkeye dalam siri adiwira The Avengers, Jeremy Renner teruja dengan kreativiti yang muncul daripada pelbagai teori dilontarkan peminat terhadap filem itu.

Jeremy berkata, pembabitan daripada peminat mengenai apa yang bakal berlaku sangat melucukan dengan pelbagai idea 'gila-gila'.

“Ia menunjukkan peminat sanggup 'melabur' ke dalam watak dengan pelbagai emosi," katanya.

Jeremy ditemui pada sidang media Avengers: Endgame yang turut dihadiri media dari seluruh dunia termasuk Harian Metro di Seoul, Korea Selatan, hari ini.

Menurut Jeremy, diberi peluang menjadi sebahagian daripada fenomena filem berkenaan sangat membanggakan dirinya.

Dia bersama dua pelakon lain, Robert Downey Jr yang membawa watak Iron Man dan Brie Larson (Captain Marvel) yang turut hadir dalam sidang media itu mendedahkan, mereka juga belum menonton keseluruhan filem itu kerana mahu bersama-sama merasai keseronokan serta menjawab teka-teki bersama peminat mereka.

Jeremy berkata, tayangan perdana filem itu akan berlangsung minggu depan dan ketika itulah baru mereka tahu keseluruhan ceritanya.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah pengarah Avengers : Endgame, Anthony dan Joe Russo; Presiden Marvel Studios, Kevin Feige dan Penerbit Eksekutif, Trinh Tran.

Sejak diumumkan tayangannya awal tahun ini, pelbagai teori dan spekulasi timbul mengenai jalan cerita filem ini yang akan mengumpulkan beberapa watak penting dalam Marvel Universe termasuklah Captain America, Thor dan Hulk menentang musuh mereka iaitu Thanos.

Selain itu, peminat juga ternanti-nantikan kemunculan sulung Captain Marvel dalam siri terbaru The Avengers ini.

Sementara itu, Avengers : Endgame yang bakal ditayangkan di Malaysia mulai 24 April ini turut mencetus fenomena apabila ada individu yang menjual tiket tayangan awal filem ini dengan harga mencecah RM1,000 sekeping.

Seorang pelayar di portal beli-belah Carousell meletakkan harga RM4,000 untuk empat keping tiket tayangan filem berkenaan pada 24 April ini di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur.

Tayangan Avengers: Endgame yang juga sambungan kepada Avengers: Infinity War tahun lalu di Malaysia adalah dua hari sebelum tayangan perdana di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 2:03 PM