GALERI Iron Man antara tarikan utama.  FOTO: Syarafiq Abd Samad
GALERI Iron Man antara tarikan utama. FOTO: Syarafiq Abd Samad
Georgie Joseph


WATAK adiwira dalam filem terbitan Marvel Studios terus menjadi kegilaan sepanjang zaman. Watak ciptaan Stan Lee seperti Iron Man, Captain America, Thor, The Incredible Hulk, Guardians of the Galaxy, Black Panther, Ant-Man, Dr Strange, Captain Marvel dan Thanos terus megah dalam segala aspek.

Bukan saja menerusi filem, pelbagai cabang lain perniagaannya terus menjadi nadi kelangsungan legasinya. Baik penjualan cenderahati dan prospek keuntungan lain, perniagaannya mendapat sokongan luar biasa.

Terkini, syarikat itu turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat secara dekat hasil kerja mereka selama ini.

Menerusi Pameran Marvel Studios: Ten Years of Heroes, peminat turut berpeluang menyentuh sendiri kostum asli pelbagai watak adiwira itu.

Ia bermula sejak 29 Jun lalu hingga 27 Oktober ini di Pavilion Elite, Pavilion, Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pameran itu berdasarkan 23 filem di bawah Marvel Cinematic Universe (MCU) terbitan Marvel Studios sejak 2008 iaitu Iron Man, The Incredible Hulk, Iron Man 2, Thor, Captain America: The First Avenger, Marvel’s The Avengers, Iron Man 3, Thor: The Dark World, Captain America: The Winter Soldier, Guardians of the Galaxy, Avengers: Age of Ultron, Ant-Man, Captain America: Civil War, Doctor Strange, Guardians of the Galaxy Vol. 2, Spider-Man: Homecoming, Thor: Ragnarok, Black Panther, Avengers: Infinity War, Ant-Man and the Wasp, Captain Marvel, Avengers: Endgame dan Spider-Man: Far From Home.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menunjukkan replika kad Avengers pada perasmian Pameran Marvel Studios: Ten Year of Heroes.
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menunjukkan replika kad Avengers pada perasmian Pameran Marvel Studios: Ten Year of Heroes.

Menerusi pameran itu, pengunjung boleh mengimbau semula semua filem berkenaan menerusi penceritaan selain melihat secara dekat semua kostum, prop dan konsep seni asal untuk filem terpilih.

Sebanyak 10 galeri menarik mengenai selok-belok setiap adiwira Marvel kegemaran masing-masing boleh dikunjungi termasuk galeri untuk Avengers: Endgame.

Galeri itu menampilkan watak utama seoerti Iron Man, Captain America, Thor, Guardians of the Galaxy, Black Panther, Ant-Man, Dr Strange dan Captain Marvel.

Paling menjadi perhatian ialah galeri Iron Man yang wajib diteroka. Ia mempamerkan evolusi kostum Iron Man/Tony Stark selain boleh mendalami mengenai watak berkenaan.

Bagi peminat Captain America pula, pengunjung berpeluang untuk memegang sendiri perisai aslinya yang cukup ikonik itu.

Perisai berkenaan adalah himpunan daripada sekuel Captain America: The First Avenger pada 2011 dan Captain America: The Winter Soldier (2014).

PATUNG Iron Man curi tumpuan.
PATUNG Iron Man curi tumpuan.

Begitu juga dalam galeri Thor apabila beberapa senjata pernah dipakai watak God of Thunder itu dipamerkan. Pengunjung akan dapat melihat secara dekat saiz sebenar prop Mjˉlnir and Stormbreaker serta perisai Loki.

Lesen pameran berkenaan dipegang The Walt Disney Company Asia Tenggara selain mendapat kerjasama pelbagai jenama termasuk Crave Alive, Beast Kingdom, Samsung Malaysia, Maybank dan KLOOK.

Tiket berharga RM58 untuk dewasa, RM38 (kanak-kanak dua hingga 12 tahun), RM48 (dewasa warganegara Malaysia) dan RM28 (kanak-kanak warganegara Malaysia) sudah mula dijual di laman web www.marvelexhibition.my.

Pada April lalu, filem Avengers: Endgame mencipta rekod apabila mencatat RM5.9 bilion dalam tempoh lima hari tayangannya jauh lebih pantas berbanding rekod jualan Avengers: Infinity War.

Keuntungan diraih termasuklah kutipan di Amerika Syarikat berjumlah RM1.4 bilion manakala untuk kutipan seluruh dunia adalah RM3.5 bilion.

Pencapaian itu menyaksikan Marvel Studios terus mengekalkan momentum mendapat pulangan luar biasa sejak 2009.

Filem terbaharu Marvel Studios yang sedang ditayangkan ialah Spider-Man : Far From Home lakonan Tom Holland dan Robert Downey Jr.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 4:30 AM