FILEM Avengers Endgame mula ditayangkan di Malaysia, semalam. FOTO Azhar Ramli
FILEM Avengers Endgame mula ditayangkan di Malaysia, semalam. FOTO Azhar Ramli
Mohd Sabran Md Sani


SERAMAI 11 individu diberikan amaran selepas dikesan cuba merakamkan filem ‘Avengers : Endgame’ pada hari pertama ditayangkan di pawagam di Johor, malam tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, tindakan itu hasil pemeriksaan di pawagam terpilih di negeri ini.

“KPDNHEP Johor melaksanakan pemeriksaan di panggung wayang terpilih di Johor Bahru ketima tayangan filem Avengers Endgame pada 24 April 2019.

“Pemeriksaan ini dibuat bagi mencegah cubaan merakam di dalam panggung wayang,” katanya ketika dihubungi di Johor Bahru, hari ini.

Katanya, sepanjang pemeriksaan itu 11 amaran dikeluarkan kepada penonton kerana cubaan merakam.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat.

Sementara itu, tular di Twitter mendakwa berlaku tangkapan seorang wanita oleh KPDNHEP di pusat beli belah di Bukit Indah, semalam.

Perkongsian itu mendakwa penahanan wanita itu kerana sedang merakam filem Avengers: Endgame menggunakan telefon bimbit.

Terdahulu sempena tayangan filem paling dinanti-nanti tahun ini iaitu Avengers : Endgame, 300 dron Intel Shooting Star diterbangkan ke ruang udara Kuala Lumpur dengan simbol-simbol ikonik filem adiwira itu, kelmarin.

Antara simbol yang dibentuk dengan dron bercahaya itu ialah Avengers, Iron Man, Captain America, Thor dan Hulk.

Persembahan dron itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada peminat Malaysia yang memberikan sokongan kepada legasi filem Avengers sejak sedekad lalu.

Ia turut dicatat dalam Malaysia Book of Records sebagai Persembahan Cahaya Menggunakan Dron Paling Banyak.

Dalam pada itu, tiket tayangan Avengers: Endgame yang mula dijual di negara ini pada 2 April sudah mencecah lebih RM10 juta.

Di Malaysia, Avengers: Endgame mula ditayangkan semalam dan mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 8:25 AM