PET Sematary masih ditayangkan di pawagam seluruh negara.
PET Sematary masih ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Syafil Syazwan Jefri


BAGI peminat tegar karya Stephen King, Pet Sematary sudah semestinya tidak asing lagi. Terbaru, ia sekali lagi diadaptasi ke layar lebar selepas versi pertama pada 1989.

Bagi yang sudah pernah membaca novel asal dengan judul sama yang diterbitkan pada 1983 dan menonton filem pertama, tentunya jalan ceritanya sudah dapat diduga.

Namun, bagi mengikuti peredaran masa, pelbagai elemen baharu ditambah dan disesuaikan dengan kehendak penonton masa kini.

Dibintangi Jason Clarke, Amy Seimetz, John Lithgow, Jete Laurence dan ramai lagi, Pet Sematary mengisahkan keluarga Louis dan Rachel Creed yang baru saja berpindah ke kawasan kejiranan baharu.

DIBINTANGI Jason Clarke, Amy Seimetz, John Lithgow, Jete Laurence dan ramai lagi.
DIBINTANGI Jason Clarke, Amy Seimetz, John Lithgow, Jete Laurence dan ramai lagi.

Pasangan itu memiliki dua cahaya mata iaitu Ellie dan Gage Creed di samping kucing peliharaan mereka, Church. Di tempat baharu, mereka berkenalan dengan jiran, Jud Crandall.

Ketika bermain sendirian, Ellie secara tidak sengaja terjumpa satu tanah perkuburan misteri dipercayai tempat pengebumian haiwan.

Jud yang lahir dan membesar di kawasan kejiranan itu berkongsi mengenai kewujudan tanah perkuburan digelar sebagai Pet Sematary itu.

Insiden bermula apabila kucing peliharaan keluarga Creed mati dilanggar lori yang lalu lalang di jalan berhampiran kediaman mereka.

Dari situ, bermulalah satu misteri sebenar yang tersembunyi di hutan gelap dan di sebalik tanah perkuburan haiwan itu.

Dalam satu temu bual, Jason Clarke yang memegang peranan sebagai Louis menganggap karya Stepen sentiasa bermain di luar kotak.

ELEMEN baharu ditambah dan disesuaikan untuk tontonan masa kini.
ELEMEN baharu ditambah dan disesuaikan untuk tontonan masa kini.

“Secara ringkasnya, elemen utama untuk filem ini adalah mengenai kekeluargaan. Namun, Stephen (King) masih lagi mengajak penonton untuk melihat sendiri apa yang bakal berlaku sekiranya sesuatu tindakan diambil.

“Dalam konteks filem ini, dia membawa penonton melihat sendiri apa kemungkinan yang akan berlaku sekiranya mereka yang sudah meninggal dunia dihidupkan semula,” katanya.

Dua pengarah Pet Sematary, Dennis Windmyer dan Kevin Kolsch berkata, mereka ingin menghasilkan karya yang boleh ditonton beberapa kali walaupun ia adaptasi.

“Pet Sematary bukanlah karya adaptasi pertama yang kami hasilkan. Kami suka hasilkan karya yang boleh ditonton berulang kali.

“Lebih kerap ia ditonton, penonton akan perasan beberapa hal yang ada kami selitkan dalam filem ini,” kata Dennis.

Tambahnya, mereka menukar beberapa elemen dalam filem berbanding novel asal.

DUA pengarah Pet Sematary ingin hasilkan karya yang boleh ditonton berulang kali walaupun ia diadaptasi.
DUA pengarah Pet Sematary ingin hasilkan karya yang boleh ditonton berulang kali walaupun ia diadaptasi.

“Walaupun ada beberapa perubahan dilakukan, kami masih lagi mengekalkan metafora dan tema seperti mana yang terkandung dalam novel asal,” katanya.

Bagi Kevin pula, selaku pengarah mereka memastikan setiap babak nampak realistik dan dapat dirasai penonton.

“Cabaran terbesar adalah melakukan babak Church mati dan dikebumikan. Kami benar-benar mahu pastikan penonton dapat rasa perjalanan yang ditempuh oleh Louis membawa Church meredah hutan, memanjat bukit sehinggalah tiba di kawasan tanah misteri,” katanya.

Hakikatnya, Pet Sematary sebuah karya yang begitu dekat dengan manusia. Satu hal menjadi ketakutan manusia adalah kematian dan bagaimana untuk meratapi pemergian itu. Itulah yang dipaparkan dalam Pet Sematary.

Pada 1992, Pet Sematary Two diterbitkan dan tidak mustahil sekiranya akan ada adaptasi untuk sambungan kepada Pet Sematary versi terbaharu ini.

Di Malaysia, Pet Sematary menemui penonton pada 4 April lalu dan masih ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 5:00 AM