HIDE & Seek Minako kisah seram diilhamkan daripada permainan dari Jepun.
HIDE & Seek Minako kisah seram diilhamkan daripada permainan dari Jepun.
Norhayati Nordin


SELAIN karya seram Thailand, semestinya naskhah dari Indonesia juga menjadi perhatian kebanyakan peminat filem di negara ini

Umpamanya, dua tahun lalu filem Pengabdi Setan arahan Joko Anwar yang dilakonkan Bront Palarae menjadi filem seram terlaris.

Oleh itu, tahun ini karya seram berjudul Hide & Seek Minako arahan Billy Christian akan ditayangkan kepada penonton tempatan.

Menariknya karya ini, ilhamnya hasil adaptasi novel seram Petak Umpet Minako yang ditulis Manhalfgod pada 2015.

Menelusuri pratonton filem ini, apa yang boleh dikata karya Hide & Seek Minako bukan naskhah berat dan terlalu menyeramkan.

Ia kisah seram yang diangkat menerusi permainan petak umpek atau sorok-sorok yang menggunakan boneka Itchimatsu dari Jepun.

Boneka dikenali dengan nama Minako digunakan dalam permainan sorok-sorok di Jepun memerlukan proses ritual memanggil roh.

Berbicara mengenai filem ini, Billy berkata, dia tertarik mengarahkan Hide & Seek Minako ke layar perak selepas membaca novelnya.

“Saya bukan individu yang suka membaca novel seram, tetapi jalan cerita dimuatkan penulis dalam novel Minako sangat menarik.

PATUNG Minako yang menyeramkan.
PATUNG Minako yang menyeramkan.

“Cuma, yang menjadi cabarannya saya perlu membayangkan bagaimana mewujudkan karakter Minako dalam filem untuk tontonan ramai.

“Selepas memahami jalan ceritanya, saya ilhamkan karakter Minako itu bermula dengan boneka kayu yang akhirnya boleh menyerupai manusia,” katanya.

Memiliki pengalaman mengarah 12 filem yang tujuh daripadanya adalah karya seram, Billy berkata, dia perlu berhati-hati menghasilkan filem adaptasi novel.

“Sebagai pengarah bertanggungjawab, saya tidak mahu pembaca novel ini berasa kecewa dengan filem yang dihasilkan.

“Jadi, saya lebih dulu memahaminya dengan membaca novel ini kira-kira 15 kali untuk memudahkan penulisan skrip dibuat.

“Saya berusaha sebaik mungkin untuk mengetengahkan Minako dalam bentuk boneka yang awalnya berasal daripada kayu dan akhirnya menjelma jadi manusia,” katanya.

Filem Hide & Seek Minako terbitan Nimpuna Sinema sudah ditayangkan di seluruh pawagam di Indonesia pada 2017.

Berada selama tiga minggu di panggung, filem ini juga disenarai dalam carta 10 filem seram terbaik yang menjadi perhatian penonton.

ANTARA babak menarik dalam filem Hide & Seek Minako
ANTARA babak menarik dalam filem Hide & Seek Minako

Dihasilkan dengan perbelanjaan kos pembikinan hampir mencecah RM500,000, percubaan pertama produksi Nimpuna Sinema menerbitkan filem pertama berjaya.

Sehubungan itu, Billy mengharapkan filem Hide & Seek Minako tidak menghampakan penonton di Malaysia terutama mereka yang sudah membaca novel itu.

Selama 13 hari penggambaran menyiapkan penggambaran filem Hide & Seek Minako, Billy akui dia sudah menggarap ilham sebaik mungkin.

Filem Hide & Seek Minako yang ditayangkan di panggung wayang tanah air mulai hari ini menampilkan barisan pelakon seperti Miller Khan, Nicky Tirta, Ario Astungkoro, Novinta Dhini dan Regina Rengganis.

Teruja Dapat Tayangan Di Malaysia

Menganggap rezeki daripada Tuhan, ternyata Billy sangat teruja dan tidak menyangka filemnya menarik perhatian pengedar filem Malaysia.

Jelasnya, dia sangat menghargai peluang diperoleh filem Hide & Seek Minako yang mendapat keyakinan pengedar filem di negara ini.

“Saya tidak pernah menduga filem ini akhirnya berjaya membawa saya bersama pelakon lain untuk tayangan dan promosi di Malaysia.

“Ini kerana filem Hide & Seek Minako sudah ditayang di bioskop (pawagam) Indonesia dua tahun lalu.

ANTARA babak menarik dalam filem Hide & Seek Minako
ANTARA babak menarik dalam filem Hide & Seek Minako

“Bagi saya ini rezeki dan diharapkan semoga filem ini berjaya menarik perhatian pencinta karya seram ke panggung,” katanya.

Mengulas mengenai pembabitan Miller sebagai tarikan utama filem Hide & Seek Minako untuk penonton di negara ini, Billy tidak menafikannya.

“Memang benar, pembabitan Miller sedikit-sebanyak menjadi daya penarik.

“Maklum saja, Miller asalnya dari Malaysia. Jadi, saya dapat rasakan pembabitannya mungkin membantu membawa penonton ke pawagam,” katanya.

Sehubungan itu, pengedaran filem Hide & Seek Minako di Malaysia dilakukan Horizon Filem.

Penerbit dan Ketua Pegawai Operasinya, Shahir Sulaiman mengharapkan Hide & Seek Minako mendapat tempat dan sambutan positif di negara ini.

BILLY bersama barisan pelakon.
BILLY bersama barisan pelakon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 1:30 PM