Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Bermula dengan hanya satu sarang kelulut untuk mengubati masalah batuk dialaminya, seorang pengawal keselamatan mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Dalam tempoh lima tahun, Suhaimi Salleh, 46, di Kampung Machang, Ajil, di sini, kini mempunyai 110 sarang kelulut yang diusahakan di sekitar kawasan rumahnya.

Suhaimi berkata, pembabitannya dalam penternakan lebah kelulut bermula selepas mengalami masalah batuk yang teruk pada 2017.

"Ketika itu, pelbagai ubat dicuba namun batuk dialami tidak pulih sebelum saya mencuba madu kelulut dan Alhamdullilah, dengan izin Allah, saya semakin sembuh.

"Sejak itu, saya mula menternak satu sarang kelulut untuk kegunaan sendiri memandangkan sukar untuk mendapatkan madu kelulut yang tulen.

"Akhirnya timbul minat untuk menternak kelulut dan saya mula menambah sarang kelulut secara berperingkat," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

SUHAIMI melihat ternakan kelulut yang diusahakan di kawasan rumahnya di Kampung Machang, Ajil. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
SUHAIMI melihat ternakan kelulut yang diusahakan di kawasan rumahnya di Kampung Machang, Ajil. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Suhaimi berkata, dia mula serius dalam ternakan kelulut selepas madu kelulut yang diusahakan mendapat permintaan ramai.

"Pada mulanya, memang untuk kegunaan sendiri dan keluarga namun orang mula membuat tempahan selepas tahu saya ada menternak kelulut.

"Daripada situ, saya nekad mendalami bidang ternakan ini dan mula menambah ilmu daripada Jabatan Pertanian selain menyertai pelbagai kursus.

"Alhamdullilah, madu kelulut ini mendapat permintaan dari seluruh negara dan ia dijual dengan harga antara RM70 hingga RM180 sebotol bergantung pada berat," katanya.

Menurut bapa kepada empat anak itu, dia juga bersyukur apabila permintaan madu kelulut yang diusahakannya meningkat ketika pandemik Covid-19.

"Kita tahu khasiat yang ada pada madu kelulut ini dan memang permintaan sentiasa ada walaupun ketika pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 2:00 PM