BABAK dalam Celaga Sakti.
BABAK dalam Celaga Sakti.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Teater dikatakan berasal daripada perkataan Yunani purba iaitu theatron yang bermaksud tempat duduk penonton.

Mengikut sejarah, Mesir, Yunani dan India dipercayai menjadi negara terawal bermulanya sejarah teater dunia yang kemunculannya berkait rapat dengan struktur kehidupan masyarakat setempat di negara terbabit.

Teater juga adalah salah satu cabang seni persembahan yang menggunakan kombinasi lakonan (dialog, gerak isyarat, mimik muka) muzik, tarian, bunyian, unsur ritual, pencahayaan, set, hiasan pentas, kostum dan unsur kekaguman pentas.

Difahamkan, kelahiran seni teater dicatatkan sejak ribuan tahun lalu dan terdapat empat jenis teater di negara ini iaitu muzikal, gerak, dramatik dan puisi.

Walaupun, teater kurang popular, masih ada anak muda yang sanggup memperjuangkan seni itu bagi memastikan ia tidak dipandang sepi khususnya generasi hari ini.

Wahyu Putra Suhaimi, 24, begitu meminati seni teater dan sudah terbabit dalam lakonan pementasan teater sejak di bangku sekolah.

Baru-baru ini, dia yang juga penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu bersama 60 penuntut institusi terbabit menjayakan pementasan teater kanak-kanak bertajuk Celaga Sakti.

WAHYU
WAHYU

Katanya, teater itu benar-benar menguji kemampuannya sebagai pelakon watak utama. Berbeza dengan lakonannya sebelum ini yang sering memegang watak antagonis.

“Watak kali ini banyak menggunakan emosi sedih dan menjadi kanak-kanak riang.

“Biarpun ia satu tanggungjawab yang berat namun bukan alasan untuk tidak memberikan komitmen yang terbaik,” katanya kepada Nuansa.

BERLATIH sebelum pementasan.
BERLATIH sebelum pementasan.

Tidak dinafikan pada mulanya dia agak tertekan dan kemudian mengambil inisiatif sendiri dengan membuat penyelidikan berkenaan karakter termasuk menonton banyak cerita berunsurkan kanak-kanak seperti Upin dan Ipin serta Anak-anak Sidek.

“Saya juga kerap berlatih sendirian di hadapan cermin dan jika lakonan ini membuatkan saya berasa sedih bermakna ia berjaya.

“Pastinya ia mampu meninggalkan kesan kepada penonton dan ini prinsip yang saya pegang sejak dulu,” katanya.

BERGOTONG-royong menyiapkan hiasan pentas.
BERGOTONG-royong menyiapkan hiasan pentas.

Malah dia juga banyak merujuk kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang teater terutama membabitkan setiap watak dilakonkan.

“Ini bagi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu lakonan supaya menepati watak diberikan.

“Tambahan pula, saya berbadan besar dan perlu memahami situasi pentas bagi mengelakkan ‘kejanggalan’ ketika pementasan,” katanya.

DR Azman (tengah) bersama penuntut IPG Kampus Bahasa Melayu yang juga pelakon teater kanak-kanak Celaga Sakti.
DR Azman (tengah) bersama penuntut IPG Kampus Bahasa Melayu yang juga pelakon teater kanak-kanak Celaga Sakti.

Menurutnya, jika mood berlatih ‘datang’ dia terus menghayati watak walaupun sedang berjalan ke kelas.

“Pernah ada orang menegur kerana melihat keadaan ini sedangkan mereka tidak mengetahui sebenarnya saya menghayati watak.

“Saya bekerja keras selama dua bulan berlatih bersama pasukan dan paling sukar ialah melakonkan watak sedih kerana perlu bermain dengan emosi serta mengalirkan air mata,” katanya.

SUASANA dalam hutan sebelum Bonbon muncul.
SUASANA dalam hutan sebelum Bonbon muncul.

Wahyu Putra berkata, dia sejujurnya hanya berjaya menjiwai watak sedih itu pada hari pementasan apabila ‘membawa’ bersama realiti kehidupannya yang terputus hubungan dengan ibu kandung.

“Situasi ini sangat membantu untuk peralihan mood gembira kepada sedih dalam masa kurang 10 saat.

“Ini yang paling mencabar dan alhamdulillah dapat melakukan dengan baik di samping bantuan pelakon lain serta latar bunyi,” katanya yang mengakui persediaan yang perlu dilakukan seorang pelakon pentas ialah ketahanan fizikal selain mental.

BONBON (dua dari kanan) memujuk Merah yang kematian ibunya.
BONBON (dua dari kanan) memujuk Merah yang kematian ibunya.

Katanya, dia mahu lebih mendalami bidang teater kerana ia satu kesenian yang perlu dipertahankan dan dikongsikan kepada generasi muda terutama pelajar sekolah.

Sementara itu Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Bahasa Melayu Dr Azman Rahmat berkata, teater terbabit mengisahkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang suka membuat eksperimen di rumah.

“Satu hari, bancuhan dibuat itu meletup menyebabkan Bonbon iaitu watak utama dilakonkan Wahyu Putra terpelanting memasuki dunia asing.

“Dunia asing itu ialah zaman 50 tahun ke belakang apabila Bonbon berada dalam kisah Bawang Putih Bawang Merah dan ikan kaloi. Lalu Bonbon menyelesaikan masalah terbabit sebelum kembali ke dunia asal,” katanya.

PELAKON teater mengambil masa dua bulan berlatih teater kanak-kanak Celaga Sakti.
PELAKON teater mengambil masa dua bulan berlatih teater kanak-kanak Celaga Sakti.

Menurutnya, teater kanak-kanak sudah lama tidak dipentaskan dan kali terakhir kira-kira lapan tahun lalu.

Ditanya adakah teater masih releven? Dr Azman menegaskan ia masih releven kerana boleh ‘menukar’ budaya masa kini kanak-kanak yang lebih cenderung bermain gajet.

“Ini menyebabkan keseronokan mereka untuk menikmati perkara sebenar sudah tiada dan sebaliknya hanya melihatnya menerusi gajet atau televisyen.

“Kami ingin mengubahnya dan memberi pendedahan dengan menjemput pelajar dari lima sekolah berhampiran IPG ini menonton pementasan teater ini,” katanya.

BONBON buntu memujuk Merah supaya berhenti menangis.
BONBON buntu memujuk Merah supaya berhenti menangis.

Beliau berkata, cerita lisan dalam teater mempunyai banyak pengajaran dan nilai positif yang baik untuk generasi muda.

Bagaimanapun katanya, kreativiti dalam pementasan teater sangat dititikberatkan melalui penggabungan elemen moden supaya penonton tidak berasa bosan dengan cerita itu.

“Elemen bunyi dan kejutan umpamanya mampu membuatkan penonton teruja menantikan babak berikutnya,” katanya.

Selain itu katanya, bukan mudah bergelar pelakon teater jika dibandingkan dengan pelakon drama kerana persiapan diri seperti ilmu dalam teater, ketahanan serta disiplin sangat diperlukan.

BONBON (kiri) bersama adik membuat eksperimen.
BONBON (kiri) bersama adik membuat eksperimen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 12:53 PM