SHERRY berlakon watak serius dalam FTV berjudul Geng terbitan pertama syarikat. FOTO: Khairul Azhar Ahmad dan Instagram Sherry
SHERRY berlakon watak serius dalam FTV berjudul Geng terbitan pertama syarikat. FOTO: Khairul Azhar Ahmad dan Instagram Sherry
Syanty Octavia Amry


TERUJA berlakon di bawah syarikat produksi dimiliki pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad bukanlah syok sendiri.

Sebaliknya, pembabitan pelakon berusia 35 tahun itu dalam filem televisyen (FTV) berjudul Geng adalah atas permintaan penulis skripnya, Shamaine Othman.

Sherry berkata, Geng adalah karya pertama Perempuan Productions yang diterajuinya bersama Shamaine dan Farah Rani.

“Saya tidak pernah terfikir untuk berlakon di bawah syarikat produksi sendiri, apatah lagi ia karya pertama produksi kami.

“Namun, ketika menghasilkan skrip untuk cerita Geng, setiap watak itu Shamaine sudah membayangkan siapakah yang sesuai. Saya sendiri pada awal bimbang untuk menerima kerana tidak mahu dikata syok sendiri,” katanya.

Namun, selepas mendengar penerangan daripada Shamaine, Sherry akur ini peluang untuknya keluar daripada kebiasaan watak komedi yang sering dibawakan.

“Watak saya dalam cerita ini adalah wanita yang terjebak dalam penjualan dadah. Walaupun ini ialah cerita komedi, banyak babak membabitkan saya adalah serius.

BERSAMA orang kuat Perempuan Productions.
BERSAMA orang kuat Perempuan Productions.

“Shamaine mahu saya mencuba sesuatu yang baharu dan saya berpuas hati, tetapi pada masa yang sama berdebar menanti reaksi penonton terhadap cerita ini,” katanya.

Bergandingan dengan Nadiya Nisaa dan Lisa Surihani, Geng adalah gandingan pertama mereka bertiga walaupun masing-masing sudah lama berkenalan.

Bagi Sherry, tidak susah untuk membina keserasian kerana masing-masing sudah lama mengenali antara satu sama lain.

“Mereka sangat komited terhadap watak dalam cerita ini. Walaupun saya sudah lama mengenali Lisa, kami tidak rapat berbanding Nadiya.

“Namun, itu bukan masalah kerana saya kagum dengan kesungguhan dan komitmen yang diberikan mereka berdua sepanjang menjayakan penggambaran,” katanya.

Geng mengisahkan tiga sahabat dalam mengharungi dugaan yang menimpa seorang rakan mereka dan masing-masing berusaha mencari jalan keluar.

Ia mengangkat kisah persahabatan dan kekeluargaan serta menggunakan watak wanita sebagai tunggak utama.

Mengulas mengenai pembabitan wanita dan Perempuan Productions juga diterajui tiga wanita, Sherry berkata, tidak mustahil jika selepas ini mereka akan tampil dengan dengan kisah mengangkat martabat wanita.

“Sering kita lihat drama dan filem di Malaysia memaparkan kisah wanita yang ditindas dan teraniaya.

“Kami mahu keluar daripada kepompong itu dan berharap selepas ini dapat menghasilkan karya lebih segar dalam mengangkat kisah wanita daripada sudut yang lebih positif,” katanya.

SHERRY dan tetamu jemputan program The Sherry Show.
SHERRY dan tetamu jemputan program The Sherry Show.

HARAP PELUANG BERLAKON LAGI

Sherry juga tidak menolak jika berlakon di bawah syarikat produksi lain, tetapi kesibukan sebagai pengacara menyebabkan tawaran berlakon kurang diterima.

“Saya tidak ada masalah jika berlakon dengan produksi lain, malah baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Mak Cun 5 dan membawa watak komedi.

“Namun, saya berharap diberikan watak serius dan berbeza daripada yang pernah dibawa sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, jika diberi peluang pasti dia mahu mencuba sesuatu yang lebih mencabar.

“Mungkin masih ada yang belum yakin untuk memberikan watak serius dan mencabar, namun jika peluang itu ada saya tidak akan menolak,” katanya.

Bercerita mengenai karier pengacaraan, Sherry bakal berganding sekali lagi dengan Alif Satar untuk musim terbaharu Big Stage, bulan depan.

Selain itu, Sherry juga mempunyai program sendiri iaitu The Sherry Show di TV3 selain Muzik Muzik dan Drop The Beat yang banyak mengangkat nama Sherry dalam bidang pengacaraan TV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 6:30 AM