KHAI Bahar. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
KHAI Bahar. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
Sudirman Mohd Tahir

Tanggal 28 Februari ini genaplah 24 tahun usia penyanyi popular Khai Bahar. Tidak pernah berharap lebih melainkan diberikan kesihatan yang baik, murah rezeki dan berjaya dalam setiap apa dilakukan.

Seiring peningkatan usia, Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin ingin jadi lebih matang terutama dalam membuat keputusan.

Biarpun pada usia sekarang kebanyakan anak muda sepertinya masih menghabiskan sisa-sisa remaja, Khai pula sibuk merencana masa depan. Bukan saja untuk diri sendiri tetapi keutamaannya adalah ibu bapa dan keluarga.

Bagi Khai, apa dilalui sekarang lebih bermakna jika keluarga turut gembira dan menikmati hasil usaha serta kerja kerasnya selama ini.

“Saya tidak kisah bekerja pada usia muda. Mungkin ini rezeki dan ketentuan yang Allah berikan. Lagipun, sebelum ini saya sudah melalui kehidupan remaja seperti orang lain. Jadi, tiba masanya untuk saya fokus pada kehidupan pula.

“Sepanjang lebih setahun berkecimpung dalam bidang ini, saya belajar banyak perkara terutama erti kehidupan. Apatah lagi, saya tinggal seorang diri di Kuala Lumpur dan keluarga pula di kampung.

“Kehidupan berdikari ini membuatkan saya jadi lebih matang. Malah pertambahan usia ini juga membuatkan saya lebih fokus dengan apa yang mahu dilakukan pada masa hadapan. Dari sehari ke sehari, saya lalui dengan cara sendiri. Malah, apa jua keputusan saya perlu buat sendiri,” katanya.

Khai yang muncul dengan single pertama Bayang berkata, kehidupan berdikari membolehkan dia lebih mengenali diri dan orang sekeliling.

Paling penting, Khai sentiasa ingat nasihat ibu bapanya agar jangan leka dan alpa dengan apa yang ada di sekeliling.

“Diakui, hidup seorang diri di Kuala Lumpur memang mencabar, malah sebelum ini pun saya pernah tinggal jauh dari keluarga iaitu di Kuching, Sarawak. Alhamdulillah, sepanjang berjauhan dengan mereka saya masih dikelilingi orang baik.

“Apa yang penting, niat diri. Saya keluar untuk bekerja dan nekad untuk berjaya. Biarlah orang bercakap sebaliknya atau memandang sinis kerjaya ini, yang penting saya dan keluarga tahu apa dilakukan.

“Anak mana yang tidak inginkan kedua-dua ibu bapa dan keluarga hidup senang serta gembira? Begitu juga saya. Sekurang-kurangnya saya ingin buktikan tidak ada apa yang mustahil digapai sekiranya berusaha dan berdoa,” katanya.

Pada masa sama, Khai yang dinobatkan Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 2017 menyifatkan restu orang tua membawa dia sampai ke tahap sekarang.

“Saya sentiasa percaya pada doa dan restu ibu bapa. Tanpa mereka, tidak mungkin saya berjaya. Saya berada di sini pun atas restu mereka.

“Apa yang diberikan selama ini mungkin tidak boleh membalas jasa dan pengorbanan mereka melahir serta membesarkan tetapi sekurang-kurangnya saya masih diberi kesempatan untuk terus berbakti kepada mereka.

“Jadi, setiap hari saya berdoa agar terus diberi kekuatan dan kesihatan baik supaya dapat melihat mereka gembira.

“Tidak dilupakan, terima kasih buat semua peminat yang sentiasa memberikan sokongan terutama Khai Bahar Empire (KBE). Tanpa doa dan usaha mereka, kejayaan tidak bersama saya,” katanya.

 KHAI Bahar. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
KHAI Bahar. FOTO Nizar Hafiz Mustafa

Wany hanya kawan

Bercerita mengenai ‘hubungan’ yang dikatakan semakin akrab dengan penyanyi Wany Hasrita, Khai tidak menafikan penyanyi lagu Menahan Rindu itu antara yang rapat dengannya.

Namun, Khai tidak mahu peminat atau orang sekeliling salah anggap kerana keakraban mereka tidak lebih daripada seorang kawan.

Dalam laporan akhbar ini Wany juga sudah menjelaskan antara mereka hanya rakan sekerja dan tidak lebih daripada itu.

“Diakui sejak kebelakangan ini saya dan Wany kerap mendapat jemputan menjayakan persembahan bersama. Namun, tidak bermakna antara kami ada apa-apa hubungan. Kami bekerja secara profesional.

“Kalau sudah berada di satu tempat, takkan saya tidak bertegur sapa atau berborak dengannya. Mungkin di sebabkan itu, orang beranggapan kami sebaliknya. Ditambah pula, kami memuat naik video di Instagram Story, sedangkan kami macam orang lain juga yang mesra sebagai kawan.

“Secara peribadi, saya melihat Wany seorang baik, kelakar dan comel. Kalau tanya orang lain pun, mereka pasti akan kata suka melihat Wany dan perwatakannya,” katanya.

Ditanya kemungkinan dia akan bercinta dengan Wany seperti yang diinginkan peminat, Khai tidak mahu terlalu fikirkan perkara itu.

“Perjalanan saya dalam bidang ini masih panjang. Banyak lagi perkara yang perlu saya belajar dan perbaiki. Soal cinta atau berkahwin, saya serah kepada ketentuan Allah.

“Sejujurnya, buat masa sekarang fokus saya lebih kepada kerjaya. Saya tidak ada masalah kalau ada peminat yang cuba mengaitkan kami, tetapi anggap ia sekadar usikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 4:23 AM