Syatilla selar sikap tidak bertanggungjawab muat naik berbaur fitnah.
Syatilla selar sikap tidak bertanggungjawab muat naik berbaur fitnah.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Syatilla Melvin menyelar sikap pihak tidak bertanggungjawab yang memuat naik kenyataan berbaur fitnah dengan mengaitkan keluarga dan ibu mentuanya.

Syatilla, 25, kesal apabila dia dikatakan hamil dan kehamilan itu seolah-olah mendatangkan masalah kepada kedua-dua keluarganya.

"Bagi saya perkara itu bukan doa sebaliknya satu kenyataan berbaur fitnah. Dalam masa sama ia mengaibkan saya, keluarga dan ibu mentua. Ayat yang digunakan seolah-olah menggambarkan berita kehamilan saya itu mendatangkan masalah besar sedangkan saya belum lagi hamil,”kata isteri kepada pelakon popular Shaheizy Sam ini.

Pautan di Facebook oleh laman iklan peniaga ‘online’ itu kononnya mengisahkan mengenai 10 perkara pelik ketika Shaheizy Sam tahu Syatilla mengandung.

Berita Syatilla hamil itu kononnya tidak disukai ibu Sam yang juga pelakon, Khaty Fauziah dan keluarga Syatilla dikatakan akan bergaduh dengan keluarga Sam jika dimaklumkan mengenai berita itu.

"Saya tahu pihak berkenaan sekadar mahu mengaut untung daripada pengguna apabila ada yang menekan butang 'klik' untuk membaca isi kandungan cerita itu. Mereka hanya mahu menipu dan mengaut keuntungan," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Syatilla memuat naik kenyataan dengan menafikan perkara itu di laman Instagram miliknya.

Menurut Syatilla, sikap peniaga dalam talian terbabit adalah keterlaluan dan melampau.

"Saya tahu bukan saya seorang saja yang kena perkara sebegini, tetapi ramai lagi. Mereka sengaja meletakkan tajuk dan kenyataan sebegitu supaya orang boleh membacanya.

"Cara sedemikian semata-mata nak mempergunakan artis. Jadi, saya perlu mempertahankan diri sendiri supaya tidak terus berlarutan sekali gus mengelakkan peminat tertipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 8:11 PM