Mawar mengenakan bayaran RM20 untuk video ucapan. - FOTO Arkib NSTP
Mawar mengenakan bayaran RM20 untuk video ucapan. - FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


SELEPAS Janna Nick, kini giliran pelakon Mawar Rashid pula mengenakan bayaran video ucapan buat peminat di Instagram Story.

Berbanding Janna yang mengenakan bayaran RM50, Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 23, menetapkan bayaran lebih rendah iaitu RM20.

“Saya mulakan perkhidmatan ucapan berbayar ini sejak empat hari lalu. Alhamdulillah, ramai pengikut dan peminat sudi membayar untuk ucapan di Instagram Story saya,” katanya kepada Harian Metro.

Mawar mengakui ada menerima komen negatif daripada netizen tetapi memilih untuk tidak ambil pusing.

“Setiap orang ada pendapat tersendiri. Bukan semua komen negatif, ada juga yang sokong apa saya lakukan asalkan tidak menjadi satu kesalahan,” katanya.

Mawar tak ambil pusing komen negatif netizen. FOTO Instagram Mawar
Mawar tak ambil pusing komen negatif netizen. FOTO Instagram Mawar

Mawar bagaimana pun mengehadkan hanya akan membuat 10 video ucapan dalam sehari.

“Bila sudah jadi komitmen, saya kena buat betul-betul. Dalam sehari, saya hanya akan memuat naik 10 video ucapan sahaja.

“Selain menjana pendapatan, saya menyokong kawan baik saya, Janna dan ini antara cara kami menghargai peminat,” katanya.

Perkembangan lain, Mawar kini hamil 16 minggu dan memilih berehat seketika daripada terbabit aktiviti seni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 2:55 PM