KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO NSTP.
KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO NSTP.
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Suami isteri berjaya dalam permohonan untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap dua pengasuh anaknya dalam saman kecuaian menjaga bayi perempuan mereka berusia tiga bulan hingga maut akibat tersedak susu, tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Zawiyah Saad membenarkan permohonan Mohd Rafi Abd Razak, 26, dan isterinya Anis Amalina Mazlin, 28, selaku plaintif terhadap dua pengasuh itu sebagai defendan.

Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili pasangan itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, mahkamah merekodkan penghakiman ingkar pada 7 Mei lalu dan membenarkan tuntutan yang difailkan plaintif.

"Anak guam kami memfailkan saman mengikut prosedur dan teratur, namun defendan (dua pengasuh) yang memasukkan kehadiran untuk menjawab saman itu lewat.

"Defendan juga difahamkan telah melantik peguam hanya selepas penghakiman ingkar direkodkan mahkamah," katanya.

Terdahulu berdasarkan tuntutan saman dikemukakan, suami isteri itu mendakwa menghantar anak mereka ke rumah defendan pada 6.48 pagi, 15 Jun 2023, namun kira-kira 11.40 pagi hari sama, Mohd Rafi (plaintif pertama) menerima panggilan daripada pengasuh memaklumkan anaknya lemah dan tidak bernafas, menggesa plaintif pulang segera.

Pada masa sama Mohd Rafi memaklumkan kepada pengasuh itu supaya menghubungi ambulans segera untuk bantuan perubatan dan ketika dalam perjalanan, plaintif pertama menghubungi defendan untuk mengetahui status keberadaan anaknya tetapi dimaklumkan oleh defendan kedua bahawa bati itu sudah diambil ambulans tanpa mengetahui dibawa ke hospital mana.

Ia menyebabkan Mohd Rafi bergegas ke Hospital Putrajaya yang berada berdekatan dan plaintif mendakwa defendan tidak menemani atau kata lain, membiarkan anaknya berseorangan di dalam ambulans serta tidak mengambil peduli keberadaan atau hala tuju ambulans yang menunjukkan bahawa defendan tidak peduli keadaan anaknya ketika itu.

Pihak Hospital Putrajaya kemudian mengesahkan anaknya sudah tidak bernafas meskipun bantuan kecemasan telah diberikan dan bayi itu disahkan meninggal dunia pada 12.17 tengah hari hari sama.

Mengikut maklumat, plaintif dimaklumkan bahawa keadaan perut anaknya pada masa itu dipenuhi susu apabila terdapat banyak susu yang keluar melalui mulut dan hidung si mati ketika bantuan kecemasan diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 1:05 PM