JOE (dua dari kiri) ketika bersama Wings.
JOE (dua dari kiri) ketika bersama Wings.
JOE
JOE
DENGAN ketiadaannya pelbagai spekulasi tercetus dalam kalangan peminat Wings.
DENGAN ketiadaannya pelbagai spekulasi tercetus dalam kalangan peminat Wings.


Apa yang ‘ditakuti’ peminat Wings akhirnya menjadi kenyataan apabila penyanyinya, Datuk Awie mengesahkan pemain gitar mereka, Joe sudah tidak bersama dengan Wings.

Awie mengesahkan berita itu ketika ditemui wartawan selepas sidang media Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Apa yang pasti, berita ini tentu mengecewakan peminat setia Wings selepas merasai perasaan yang sama ketika Awie meninggalkan kumpulan itu pada 1993.

Awie dipetik sebagai berkata, ketiadaan Joe tidak akan melemahkan Wings dan ramai lagi pemain gitar lain yang boleh mengisi kekosongan itu.

“Wings satu jenama dan kekuatannya bukan terletak pada individu,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya apa masalah sebenarnya, Awie enggan mendedahkannya.

Joe pula ketika dihubungi hanya berkata ‘no comment’.

Jika sudah berahsia begini, krisis yang berlaku dalam kumpulan rock popular ini memang serius.

Desas-desus mengenai ketiadaan Joe mula tular di laman sosial apabila dia digantikan Edrie Hashim dalam satu konsert Wings di Melaka pada penghujung Disember tahun lalu.

Malah, peminat mula memperkatakannya apabila Awie memuat naik gambar mereka mengadakan latihan bersama Edrie di Instagram sebelum itu.

Menurut sumber, krisis antara mereka tercetus berikutan dakwaan mengatakan Joe adalah punca Wings terpaksa membatalkan Konsert 30 Tahun Wings yang sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember tahun lalu.

Difahamkan, permasalahan terbabit dikatakan berpunca daripada orang ketiga hingga ia merebak menjadi lebih serius.

Malah Awie, Joe, Black dan Eddie juga dikatakan sudah duduk semeja dan berbincang mengenainya, namun difahamkan tiada jalan penyelesaian.

Bagaimanapun, pertukaran anggota bukanlah asing dalam Wings dan ia sudah berlaku sebelum mereka merakamkan album.

Sebaik tampil dengan album sulung Belenggu Irama pada 1987, pemain gitar Syam meninggalkan Wings dan digantikan oleh Tham.

Sebelum menghasilkan album kedua, Tham digantikan Joe. Pada 1990 selepas melahirkan album Teori Domino, Black pula meninggalkan Wings dan dia digantikan Jojet dari Gersang.

Bagaimanapun, Black kembali bersama Wings pada 1994 hinggalah hari ini.

Awie yang meninggalkan Wings pada 1993 digantikan oleh Mel. Pada 1996, Mel pula keluar Wings dan digantikan penyanyi May, Mus.

Namun, Awie kembali ke pangkuan Wings pada 2000 dan mereka tampil dengan album Naga Kramat.

Hanya Eddie yang tidak pernah meninggalkan Wings sejak menganggotai kumpulan itu pada 1985.

Masih ada masa duduk semeja

“Kalau peminat nak kecewa, apa boleh buat, tetapi hidup perlu diteruskan. Saya tegaskan Wings dibentuk oleh kekuatan sendiri dan bukan oleh mana-mana individu.”

Ini kata Awie dalam sidang media, Selasa lalu mengenai ketiadaan Joe.

Tanpa Joe, Wings menggunakan khidmat Edrie dalam persembahan mereka sebelum ini. Dalam Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama yang akan berlangsung bulan depan, Wings turut menggunakan khidmat Syam dan Rodi Kristal selain Edrie.

Apa yang pasti, ketiadaan Joe menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bukan saja di laman sosial, tetapi juga sembang di kafe.

Rata-rata sebahagian besarnya kecewa dengan apa yang berlaku. Mereka tidak mahu Awie, Joe, Eddie dan Black berpisah.

Walaupun bukan anggota asal, peranan Joe dalam Wings tidak boleh dipertikaikan.

Selepas Awie keluar pada 1993, Joe memimpin Wings dan meneruskan perjuangan mereka. Malah, Joe tampil dengan idea album berkembar Wings & Superfriends Part I & Part II setahun selepas itu.

Dalam album berkenaan, Wings mengundang rakan artis seperti Amy Search, Datuk M Nasir, Datuk Ramli Sarip, Mus MAY, Ito Blues Gang, J Yantzen, Sahara Yaakob dan ramai lagi merakam semula lagu Wings.

Dari segi muzik, Joe turut bertanggungjawab terhadap susunan muzik dan bertindak sebagai pengarah muzik bagi kebanyakan konsert Wings.

Begitu juga dengan ‘sound’ gitar daripada Joe yang dirasakan belum ada yang layak untuk menggantikannya dalam Wings.

Bagaimanpun, perkara yang tidak diingini peminat sudah pun berlaku.

Hanya Awie, Joe, Eddie dan Black yang lebih arif dengan permasalahan mereka ini.

Adalah lebih baik mereka kembali duduk semeja, berbincang secara profesional dan selesaikan masalah mereka satu persatu.

Jika ia dilakukan, tidak mustahil Wings akan terus terbang tinggi.

Namun, jika terus bermasalah, tidak mustahil juga Wings boleh patah sayapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:01 AM