AHMAD Zahid Hamidi (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB). FOTO Adam Arinin
AHMAD Zahid Hamidi (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB). FOTO Adam Arinin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan pernah membuat tawaran untuk melantik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung Umno pada 2018.

Presiden Umno itu berkata tawaran berkenaan yang didakwa sebagai balasan jika menyokong beliau tidak pernah wujud.

"Semalam, saya melihat satu video oleh seorang penceramah yang menjadi kuman, parasit di mana dia katakan bahawa saya menawarkan dia menjadi Setiausaha Agung Umno kalau dia sokong saya menjadi Presiden Umno pada 2018.

"Saya ingin beritahu orang itu bahawa tidak ada tawaran untuk dia menjadi Setiausaha Agung apatah lagi menjunjung al-Quran. Saya nasihatkan dia supaya cepat-cepat bertaubat, jangan setiap kali ada Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) membohong, menipu bawa isu itu dan ini.

"Saya kenal dia dari zaman muda kuat membohong, malangnya dia menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen sekarang.

"Saya harap dia tidak membohonglah apabila berhujah di Parlimen kerana pengalaman saya dari muda sampai tua, bercucu ini tak habis-habis kerjanya membohong, cukuplah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB), di sini, hari ini.

Ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor, semalam, Hamzah dilaporkan mendakwa ditawarkan Ahmad Zahid untuk menjadi Setiausaha Agung Umno jika menyokongnya untuk menjadi presiden pada pemilihan 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 12:58 PM