ANAK kepada Allahyarham Datuk Halim, Md Diah, 77, Fizree Halim, 37, (duduk, tengah), menyiram air mawar di pusara ayahnya. FOTO Bernama
ANAK kepada Allahyarham Datuk Halim, Md Diah, 77, Fizree Halim, 37, (duduk, tengah), menyiram air mawar di pusara ayahnya. FOTO Bernama
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Terperanjat juga kerana sebelum ini saya tengok dia macam sihat. Dia juga hadir menyokong konsert saya di Grand Barakah Hotel pada Julai 2022," kata penyanyi pop yeh yeh, Datuk Jeffrydin, 77, mengenai kematian rakan seangkatannya, Datuk A Halim, semalam.

Berita sedih ini dimaklumkan isterinya, Datin Rashidah kira-kira jam 10.30 pagi, semalam.

"Saya memang tahu dia ada sakit tapi selepas itu keadaannya kembali okay. Difahamkan dia kembali sakit selepas balik dari kebunnya. Itu dari cerita isterinya kepada saya.

"Hubungan kami baik sangat baik. Namun, saya dah jarang berhubung dengan dia kerana setiap kali telefon dia tak jawab panggilan. Mungkin dia tidur atau kurang sihat, tak pastilah. Saya memang rajin telefon dia dulu," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Mas Mona ini berkata, ada pengalaman lucu antara mereka apabila A Halim demam dan meluahkan perasaan bimbang sekiranya tidak dapat menyanyi di satu lokasi persembahan.

"Saya kata mudah saja, makan nasi dengan asam pedas untuk sembuh. Dia ikut dan akhirnya malam itu dia boleh menyanyi dengan baik.

"Pernah juga, dia bersama arwah S Jibeng datang Kuala Lumpur dan tumpang bermalam di rumah saya lepas habis persembahan.

"Esoknya mereka terlepas penerbangan balik ke Johor gara-gara menunggu isteri saya masak nasi lemak. Mereka nak sangat makan. Terpaksalah mereka naik teksi balik Johor," katanya.

Bagi Jeffrydin, penyanyi lagu Kisah Dan Tauladan itu sangat menjaga hubungan dan tidak kedekut membelanja kawan-kawan semasa makan.

"Dia sanggup kata, nak marah, marahlah aku tetap nak bayar. Itu memang perangai dia yang sangat baik.

"Semasa kebangkitan irama pop yeh yeh pada 1985, kami seronok apabila semua kawan-kawan kembali berkumpul dan menjayakan persembahan bersama.

"Apapun, pemergiannya satu kehilangan dalam industri muzik. Semuanya ketentuan Allah. Insya-Allah saya akan menziarah kuburnya apabila berpeluang ke Johor nanti," katanya.

Terdahulu, A Halim atau nama sebenarnya, Halim Md Diah meninggal dunia di Hospital Penawar di Johor pada jam 10.01 pagi semalam.

Allahyarham yang berusia 77 tahun dimasukkan ke hospital pada 7 petang kelmarin selepas mengadu sesak nafas.

Allahyarham mengalami lumpuh sebelah badan selepas diserang angin ahmar sejak lima tahun lalu.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Cahaya, Masai, Johor, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 1:27 PM