Mark Adam ditawar membintangi filem berjudul Hero. FOTO HM Digital
Mark Adam ditawar membintangi filem berjudul Hero. FOTO HM Digital
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Mark Adam mengakui amat gembira apabila ditawarkan membintangi filem berjudul Hero yang berkisarkan mengenai anggota Bomba.

Mark, 39, berkata, filem ini diadaptasi dari siri drama popular Abang Bomba I Love You dan turut menampilkan pelakon asal drama ini iaitu Hisyam Hamid selain pelakon Bell Ngasri.

“Kami bertiga terpilih sebagai pelakon utama filem ini. Ia kesempatan yang tak boleh dilepaskan oleh saya kerana peluang ini bukannya selalu datang.

“Sudah tentu, saya akan buat yang terbaik dan akan membuktikan kemampuan lakonan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya penggambaran filem ini akan bermula pada September dan akan mengambil masa sebulan. Dia akan menjalani latihan kecergasan sebagai persediaan untuk berlakon.

“Saya dijadualkan akan menjalani latihan kecergasan selama seminggu pada 15 September ini. Ia perlu kerana kerjaya anggota bomba sangat mencabar dan memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

“Saya sudah buat kajian sendiri mengenai kerjaya ini dan akan cuba memenuhi keinginan penerbit untuk buat yang terbaik.

“Dalam filem ini ada genre aksi, komedi dan cinta. Ia adalah filem ketiga saya selepas Langkawi Oh Langkawi (LOL) dan Bikin Filem,” katanya.

Dalam pada itu, Mark juga akan tampil dengan single terbarunya berjudul Amnesia selepas ini.

“Amnesia bermaksud lupa atau hilang ingatan dan ia berdasarkan dari kisah benar saya ketika berjumpa isteri dahulu.

“Saya tak ingat namanya dan ke sana sini mencari wanita itu. Dalam lagu ini saya sengaja sebutkan nama-nama yang popular dalam kalangan peminat.

“Adakah anda kenal siapa dia? Apakah namanya Neelofa atau Sharifah Sakinah? Ia sebuah lagu yang terbuka dan tiada penamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 1:07 PM