SOFI mahu tiup semangat generasi baru.
SOFI mahu tiup semangat generasi baru.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Figura seni, Sofi Jikan sememangnya unik. Terkenal dengan watak gelap, pelakon berusia 44 tahun ini berani menongkah arus.

Pada saat namanya berada di kemuncak, Sofi bertindak menolak tawaran menjayakan filem terbitan mana-mana produksi, sebaliknya nekad hanya beraksi dalam karya arahannya sahaja.

Pelakon berkarakter ini mengotakan kata-katanya apabila tampil dengan filem arahan pertamanya, Gangsterock yang diterbitkan YKS Film Maker.

Terbaru, Sofi mempertaruhkan filem kedua berjudul Ajib Is Back, terbitan syarikatnya, Iman Film Sdn Bhd.

“Filem ini dibintangi Dide Chang Abdullah, Saiful Apek dan ramai lagi. Tarikh tayangan belum ada, tetapi saya mengadakan tayangan amal dan hasilnya disalurkan kepada Tabung Medic Infaq.

“Ia sebuah akaun amanah di Amanah Raya Berhad yang bertujuan membantu pesakit yang memerlukan bantuan rawatan dan perubatan.

“Tayangan amal ini diadakan selama dua malam berturut-turut bermula kelmarin sempena pesta konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi,” katanya.

Selain menghasilkan filem, Sofi turut mencuba nasib sebagai penyanyi dengan memperkenalkan single berjudul Kasi Sengat. Dia turut bergabung dengan dua penyanyi lain bagi menghasilkan album, Bisa Berbisa.

“Kumpulan dinamakan Triple Trouble ini turut membariskan bekas vokalis asal kumpulan Handy Black, Isa Rahman dan vokalis Leon, Ayie. Kami memuatkan lagu solo masing-masing dalam album ini,” katanya.

Sementara itu, Sofi turut diangkat sebagai Abang Long untuk program realiti Rockers terbitan KRU Studios yang akan disiarkan menerusi HyppSensasi, saluran 116 HyppTV milik Telekom Malaysia bermula 16 November ini.

Tegas Sofi, gelaran ini tiada unsur negatif kerana dia bertindak sebagai pembantu kepada Datuk Ramli Sarip yang menggalas tanggungjawab sebagai penasihat atau otai.

“Saya tak nampak ada unsur negatif pada gelaran ini. Lagipun kalau dilihat peranan Abang Long adalah menjaga keselamatan adik-adik di bawah jagaannya.

“Sekiranya peserta mempunyai masalah atau perkara berbangkit, mereka boleh kongsi dengan saya. Selain itu, saya juga akan mengajar mereka aspek penghayatan dan personaliti.

“Sudah dua tahun saya tak berlakon filem dan sepanjang tempoh itu, saya tercari-cari benda yang dekat dengan jiwa.

Tak sangka akhirnya KRU Studios menawarkan tugasan ini,” katanya.

Mengulas persoalan adakah dia benar-benar layak untuk terbabit dengan program itu, Sofi berkata, dia sudah mengenali dan memahami pengertian rockers sejak zaman sekolah.

“Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya dah pakai seluar koyak dan berambut panjang. Muzik rock sebenarnya sudah mati dan hanya beberapa kumpulan saja yang mampu bertahan dan gigih memperjuangkan genre ini.

“Inilah sebabnya kita perlu ada pelapis bagi meneruskan kesinambungan genre ini. Rock perlukan imej dan semangat. Saya yakin dapat curahkan ilmu kepada peserta nanti.

“Saya mahu bakar semangat mereka. Sebagai contoh, saya buat lagu sendiri dan cari komposer sesuai untuk hasilkan single dan album.

“Saya tak mudah mengalah dengan cabaran dan kekuatan inilah yang membawa saya kepada kedudukan sekarang,” kata bintang filem Bravo 5 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:02 AM