MEEYOJOE dianggotai Meeyo Shapik (kiri) dan Joe Bazli.
MEEYOJOE dianggotai Meeyo Shapik (kiri) dan Joe Bazli.
Norhayati Nordin


Memulakan langkah pada 2013 secara trio, kini perjuangan kumpulan Vortez beralih kepada duo dikenali sebagai MeeyoJoe.

MeeyoJoe kini dianggotai Amirul Shafiq Sukor atau Meeyo Shapik, 25, dan Muhammad Bazli Zakaria (Joe Bazli), 25.

Hampir lima tahun berusaha mengetengahkan bakat, MeeyoJoe kini tampil mempertaruhkan single Delusi ciptaan Joe Bazli.

Delusi kini semakin mendapat perhatian selepas dipilih sebagai lagu tema drama Zahir Tak Terucap di slot Akasia TV3.

Berbicara mengenai Delusi, Joe Bazli berkata, susunan muzik lagu itu mendapat sentuhan komposer berkaliber, Sharon Paul.

“Ia mengisahkan kecurangan dalam percintaan. Ilham itu berdasarkan kisah rakan rapat.

“Sebagai pencipta lagu dan penyanyi bersama Meeyo, Delusi menjadi harapan MeeyoJoe untuk karya kami dikenali pendengar.

“Tidak saya nafikan Delusi kurang mesra di stesen radio tetapi peluang dipilih menjadi lagu tema drama ini juga publisiti buat MeeyoJoe,” katanya.

Terdahulu, Delusi juga pernah dipilih menjadi lagu tema untuk drama Awak Suka Saya Tak lakonan Alvin Chong dan Emma Maembong.

Bagi Meeyo pula, dia mengharapkan akan muncul sinar lebih indah buat Delusi yang bergenre pop rock.

“Saya mengharapkan Delusi akan mendapat peluang mesra radio selepas menjadi lagu tema untuk drama TV.

“Bahkan, lebih jauh lagi harapan MeeyoJoe sekiranya Delusi dapat dicalonkan dalam program Muzik-Muzik di TV3.

“Ini kerana menjadi harapan sesiapa saja penyanyi baru seperti kami ingin lagu dinyanyikan dapat menyertai program Muzik Muzik,” katanya.

Selain Delusi, MeeyoJoe juga bakal muncul dengan single istimewa sempena Aidilfitri, Manisnya Syawal tidak lama lagi.

Menanam tekad meneruskan perjuangan dalam muzik hingga berjaya, MeeyoJoe turut menceburi perniagaan minyak wangi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 10:14 AM