ADIRA lancar single baharu Maaf.
ADIRA lancar single baharu Maaf.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


WALAU pun lagu Pujaan Hati gagal ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) lalu, Adira tidak putus asa untuk melancarkan single baharu.

Masih mengekalkan muzik dan genre balada, Adira, 29, atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi muncul dengan lagu Maaf yang sekali lagi dipilih menjadi lagu tema drama Maaf Tak Indah yang mula ditayangkan 12 Februari lalu di slot Samarinda, TV3.

Drama lakonan Azlee Khairi, Azar Azmi, Ruhainies dan Fizo Omar yang diterbitkan Zamriez Golden Pictures adalah adaptasi novel hasil karya Emy Roberto dan diarahkan Zamri Zakaria.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ibu kepada tiga anak ini adalah ‘Ratu Soundtrack’ drama tempatan selepas lebih 10 lagu nyanyiannya menjadi lagu tema.

“Saya tidak kisah dipanggil Ratu Soundtrack kerana menganggap peluang itu pun sebagai rezeki juga. Bukan mudah sebenarnya seseorang penyanyi untuk dipilih menyanyikan lagu runut bunyi yang akan dimainkan berulang kali di TV.

“Jika hendak mempromosikan sendiri di TV, mungkin ia menelan kos yang tinggi. Jadi saya menganggap peluang ini sebagai salah satu strategi promosi. Selain di stesen radio, peminat juga boleh mendengarkan lagu saya hampir setiap hari di TV.

ADIRA
ADIRA

“Saya juga menganggap saya sangat bertuah, malah saya bersyukur apabila lagu digunakan sebagai lagu tema drama. Secara tidak langsung ia mengembangkan lagu itu apatah lagi drama dan lagu memang saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya.

Menerusi lagu Maaf, Adira sekali lagi bekerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh.

Adira berkata, ia satu pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana menyifatkan Ikhwan adalah komposer muda yang sangat berbakat.

“Ini kali ketiga saya bekerjasama dengan Ikhwan iaitu selepas Takdir Tercipta dan Pujaan Hati. Ia satu pengalaman menyeronokkan kerana Ikhwan seorang yang sangat berbakat. Karya ciptaannya juga sangat segar dan mengikut arus muzik semasa.

“Saya menggemari Maaf kerana kekuatannya terletak pada lirik dan melodi yang sangat berkaitan dengan jalan cerita dalam novel. Terus terang sekiranya saya diberi peluang untuk menyanyikan lagu soundtrack lagi, saya tidak kisah asalkan nama saya terus kekal relevan dalam industri muzik apatah lagi dengan kehadiran ramai penyanyi BBNU,” katanya.

Maaf adalah single solo kedua penyanyi kelahiran Ranau, Sabah itu bersama Nova Music (M) Sdn Bhd selepas Pujaan Hati yang menjadi lagu runut bunyi drama Pujaan Hati Kanda lakonan Remy Ishak dan Mira Filzah.

Video lirik single Pujaan Hati juga ditulis Ikhwan Fatanna bersama Ayden Ali itu meraih lebih lapan juta tontonan di YouTube malah turut muncul antara lagu paling popular sepanjang tahun lalu.

Adira juga pernah berduet bersama Hafiz Suip menerusi lagu Takdir Tercipta yang juga terbitan serta edaran Nova Music tahun lalu.

Lagu itu juga dipilih sebagai lagu tema drama Lelaki Mu Yang Dulu lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose juga untuk saluran TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 8:00 AM