VOTEz yang dianggotai Meer Nash (tengah), Meeyo (kiri) dan Joe Bazli ketengah muzik retro funk.
VOTEz yang dianggotai Meer Nash (tengah), Meeyo (kiri) dan Joe Bazli ketengah muzik retro funk.
Oleh Michelle Gun


Barangkali ada pihak menganggap kumpulan VOTEz yang dianggotai tiga jejaka iaitu Meer Nash, Meeyo dan Joe Bazli menyamai Forteen.

Walaupun penampilan mereka mungkin hampir sama, namun konsep lagu dibawa VOTEz berbeza iaitu retro funk, malah setiap anggotanya juga ‘versatile’.

Mempertaruhkan Mana Dulu sebagai single pertama, VOTEz bakal muncul dengan lagu baru yang diberi judul Destinasi ciptaan Sharon.

Berkongsi lanjut mengenai VOTEz, Meeyo atau nama sebenarnya Amirul Shafiq Shukor, 21, berkata, lagu genre retro funk dipilih kerana mahu menampilkan kelainan dalam industri seni tanah air.

“Kami ingin menampilkan kelainan yang boleh mewarnai industri seni tempatan,” katanya.

Menyedari terpaksa bersaing dengan ramai artis baru, Meeyo yakin lagu VOTEz mendapat sambutan.

“Kami yakin lagu retro funk boleh menambat hati pendengar memandangkan lagu antarabangsa yang bergenre sedemikian seperti Happy nyanyian Pharrell Williams dan Uptown Funk (Mark Ronson feat Bruno Mars) diterima baik orang tempatan,” katanya.

Mengenai perkembangan terbaru kumpulan itu, Meeyo berkata, mereka kini sibuk membuat persiapan untuk persembahan di beberapa lokasi.

“Kami berlatih menyanyi lagu hits aliran lama dan juga dalam bahasa Korea dan Mandarin untuk persembahan nanti.

“Salah satu daripadanya adalah gabungan dua lagu dangdut berjudul Rindu dan Kopi Dangdut,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai pembikinan klip video muzik Mana Dulu, Meeyo berkata, ia berlatarkan zaman dahulu namun dicampurkan dengan elemen moden.

“Video muzik lagu itu menampilkan konsep seperti filem Labu Labi dan Bujang Lapok.

“Idea itu datang daripada Pengarah Urusan Pop Media, Maddha Fahmy,” katanya.

Peminat buat akaun laman sosial

Hampir tiga bulan bertapak dalam indusrti, anggota VOTEz rancak menganjurkan aktiviti riadah bersama peminat pada hujung minggu.

Menurut Meeyo, aktiviti itu bertujuan merapatkan hubungan VOTEz dengan peminat selain mempromosikan nama kumpulan itu kepada orang ramai.

“Setakat ini kami sudah mengadakan sesi karoke, mendaki dan bermain boling dengan peminat. Apabila ada masa, kami pasti mengajak peminat untuk beriadah,” katanya.

Tambahnya lagi, peminat turut membantu untuk membuat akaun rasmi Instagram VOTEz bagi berkongsi aktiviti seharian kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 11:37 AM