VOTEZ banyak belajar daripada penyanyi Dina.
VOTEZ banyak belajar daripada penyanyi Dina.
Oleh Michelle Gun


Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna bagi VOTEz kerana buat pertama kali, anggota kumpulan ini meraikan hari lebaran sebagai artis.

Ingin berkongsi kesyukuran diberikan peluang membina karier dalam bidang nyanyian, VOTEz yang dianggotai Meer Nash, Meeyo dan Joe Bazli berhasrat meraikan Aidilfitri bersama kakitangan syarikat label, Pop Art Media.

Meeyo berkata, dia dan rakan sekumpulan lain turut merancang mengadakan majlis rumah terbuka untuk peminat mereka.

“Lebaran kali ini sememangnya istimewa bagi kami selepas hampir setahun bertapak dalam industri seni tanah air.

“Jadi kami ingin berkongsi kegembiraan bersama peminat serta kakitangan syarikat label yang sentiasa menyokong kerjaya VOTEz,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Amirul Shafiq Shukor, 21, aktiviti seni VOTEz sepanjang Ramadan lalu kurang dan akan kembali bertugas bagi mempromosikan single baru berjudul Propa yang diduet bersama penyampai Era FM, Dina Nadzir selepas lebaran.

“Selepas berpuas meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung masing-masing, kami akan mula sibuk dengan persembahan jelajah di beberapa lokasi untuk memperkenalkan single Propa kepada orang ramai,” katanya.

Berkongsi pengalaman berkolaborasi dengan Dina, Meeyo berkata, banyak yang dapat dipelajari daripada bekas peserta program realiti Malaysian Idol musim pertama itu.

“Dina berkongsi beberapa tip dalam bidang nyanyian dan dia menasihati kami supaya memahami serta menjiwai lagu yang hendak disampaikan,” katanya.

Meeyo berkata, lirik lagu Propa yang mengisahkan lelaki cuba memikat hati wanita itu terpaksa diubah sebanyak tiga kali supaya sesuai dengan konsep VOTEz yang mengetengahkan muzik Retro Funk.

“Pada mulanya, kami berdepan kesukaran untuk menyanyi Propa kerana berasakan lagu itu berat.

“Kami juga kurang yakin kerana khuatir generasi muda sukar menerimanya, namun selepas melakukan beberapa perubahan kami berjaya menyiapkan rakaman.

“Kehadiran Dina yang menyanyikan bahagian rap menyempurnakan lagi lagu berkenaan,” katanya.

Walaupun sudah menghasilkan dua single, Meeyo berkata, kumpulan itu belum mempunyai perancangan untuk mengeluarkan album kerana mahu mengukuhkan nama dalam industri seni muzik tanah air.

“Hasrat itu memang ada, namun bimbang album kurang menerima sambutan. Sebagai band baru, kami mahu fokus mengeluarkan single dulu.

“Apabila sudah mempunyai beberapa single, mungkin kami akan mengumpulkan semuanya untuk dimuatkan dalam album.

“Apa pun, kami berharap peminat terus menyokong VOTEz dan mendoakan yang terbaik untuk kerjaya ini,” katanya.

Seronok berkenalan dengan rakan baru

Sebelum ini, VOTEz dikenali sebagai Voice Of Tomorrow (VOT) yang menggabungkan Meeyo, Joe dan Yusry.

Bagaimanapun, Yusry menarik diri atas masalah keluarga dan digantikan dengan Meer Nash yang menyertai kumpulan itu menerusi sesi uji bakat.

Seperti Meeyo dan Joe, lebaran kali ini lebih menyeronokkan bagi Meer Nash, 19, kerana dapat diraikan bersama dua rakan baru.

“Perkenalan dengan Meeyo dan Joe banyak membawa perubahan kepada hidup saya,” katanya yang menuntut di Kolej Poly-Tech MARA, Cheras dalam bidang perakaunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 10:19 AM