JOOE
JOOE
Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Padah membuli mampu membawa impak yang besar dalam kehidupan selebriti di Korea Selatan.

Walaupun kisah lama, mangsa yang pernah terkena pasti tidak boleh melupakan kekejaman seorang pembuli.

Terbaru, anggota Momomland iaitu JooE pula didakwa pernah membuli tidak lama dulu.

Kejadian itu berlaku sewaktu dia masih di sekolah menengah.

Disebabkan dakwaan mangsa berkenaan, penyanyi itu mendapat kecaman hebat. Rata-rata mengutuknya selain tidak percaya dan tidak dapat menerima hakikat itu.

Bagaimanapun, agensinya tampil dengan kenyataan penafian mengenai dakwaan itu dan mempertahankan JooE.

Bahkan kenyataan daripada kawan sekolahnya turut dijadikan bukti dakwaan itu mengarut.

Agensinya turut menegaskan mahu mengambil tindakan terhadap penyebar khabar angin yang tidak berasas itu. Mereka sedia membawa perkara itu di mahkamah.

Bukan saja agensinya, rakan karib JooE turut tampil dengan kenyataan mempertahankan penyanyi berkenaan.

Menurutnya, dia memang tidak pernah membuli dan cuma mangsa membuat tuduhan palsu.

Pengakuan itu dibuatnya sebagai menepis khabar angin yang semakin merebak dan memberi reputasi buruk kepada JooE.

“Sejak tuduhan itu dibuat dan semakin digembar-gemburkan, saya mulanya mahu berdiam saja. Bagaimanapun, ia makin menjadi-jadi dan saya rasa perlu tampil ceritakan hal sebenar.

“Saya adalah kawan JooE dan masih lagi berhubung dengannya. Kami akrab sejak sekolah menengah dan jika tuduhan itu benar, saya patut menjadi orang pertama yang tahu.

“Tuduhan itu ternyata langsung tidak benar. Kalau ada yang menjadi mangsa, pastinya mereka sudah tampil bersuara tetapi ia tidak berlaku kerana dia memang bukan pembuli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 1:34 AM