KIM Hieora bukan tergolong sebagai kaki buli.
KIM Hieora bukan tergolong sebagai kaki buli.
Georgie Joseph


ANNYEONGHASEYO! Susulan kontroversi dituduh pembuli, rakan sekolah pelakon, Kim Hieora tampil menafikan pelakon itu kaki buli dalam satu hantaran panjang di media sosial, baru-baru ini.

Menurut individu enggan dikenali itu, pelakon terbabit yang dipanggil Eora sangat berjasa kepadanya. Disebabkan Eora juga dia kembali bersemangat meneruskan persekolahan.

Menurutnya, Eora pernah bertandang ke rumahnya bersama sekumpulan pelajar yang suka membulinya. Pelakon itu juga menjadi punca individu itu berhenti dibuli.

"Ada sehari itu, mereka datang ke rumah saya lagi. Tapi, ada seorang kawan lain yang saya cuma kenal namanya sebagai Eora. Itu hari penamat saya menjadi mangsa buli mereka.

"Tak pasti kalau Eora masih ingat, tapi selepas meluangkan masa di rumah saya, dia berterima kasih diberi makan dan mohon maaf kerana tidak tolong membasuh pinggan. Dia juga ajak saya berkawan," katanya.

Menurutnya, kata-kata itu mungkin hal remeh, tapi sangat bermakna buatnya. Bahkan, dari situ dia menjadi rapat dengan pelakon terbabit.

"Sejak itu, dia sentiasa menyapa saya di sekolah dan jadikan saya kawan. Pada tahun ketiga, kami jadi rakan sekelas, belajar bersama, saling meluah dan lepak di rumahnya.

"Eora sentiasa menjadi perhatian. Namanya unik, matanya bundar berwarna coklat, kulitnya putih dan orang akan berpaling melihat penampilannya," katanya.

Menurutnya, Eora juga terkenal menjadi sebahagian daripada kumpulan pelajar digelar Big Sangji. Namun, dia bukan tergolong sebagai kaki buli.

"Bukan semua dalam Big Sangji suka membuli atau buat masalah. Eora bukan termasuk dalam mereka yang suka mencetus masalah. Eora yang saya kenal tak membuli, tak hisap rokok dan rapat dengan guru," katanya.

Sebagai bukti dirinya kenalan Kim Hieora, dia turut berkongsi tangkap skrin perbualannya menerusi Instagram dengan pelakon itu.

Baru-baru ini, Dispatch mendedahkan laporan mengenai tuduhan bahawa pelakon itu adalah anggota kumpulan Big Sangji yang terkenal sebagai kaki buli di sekolah menengah.

Dia dan agensinya, GRAM Entertainment bagaimanapun menafikan sekerasnya tuduhan itu. Mereka juga berjanji mahu ambil tindakan undang-undang keras terhadap pencetus fitnah sedemikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 6:09 AM